Prihatin juga nasib etnik Uighur - Utusan Malaysia

Prihatin juga nasib etnik Uighur

CUKUP membingungkan dengan sikap berdiam diri kerajaan terhadap kekejaman yang dilakukan China terhadap etnik Uighur. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SYABAS kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru-baru ini menyatakan kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dan dilayan dengan kejam oleh sindiket penipuan kerja yang didalangi penjenayah dari China.

Pada masa sama, saya berharap kerajaan turut prihatin dengan pelbagai laporan berita dan kebimbangan yang semakin meningkat daripada masyarakat global mengenai dakwaan kekejaman China terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang.

Namun sehingga hari ini, kerajaan belum membuat sebarang pendirian penting dalam isu ini. Mungkin juga kerajaan terlalu mahu memelihara kepentingan hubungan dengan China atau sebenarnya langsung tidak peduli dengan apa yang berlaku di Xinjiang kerana ia tidak berlaku di belakang rumah kita.

Wilayah Xinjiang yang majoriti penduduknya beragama Islam terus menjadi sasaran ‘pembunuhan’ budaya dan pencabulan hak asasi manusia yang tidak berperikemanusiaan dengan tujuan pembersihan etnik.

Laporan terbaharu daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi gambaran sebenar, sejauh mana kerajaan China melayan etnik Uighur namun sehingga hari ini, tiada apa yang dilakukan untuk menghalang keganasan seperti itu berterusan.

Apa yang lebih membingungkan ialah Malaysia pada masa lalu menjadi juara dalam memperjuangkan isu hak asasi manusia di seluruh dunia terutama apabila melibatkan masyarakat Islam, namun sekarang berdiam diri berhubung isu Uighur.

Selama beberapa dekad, kerajaan dan rakyat bersungguh-sungguh menentang dan mengutuk tindakan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Pas

Sebab itu, saya ingin bertanya, kenapa kerajaan mengambil pendirian berbeza apabila melibatkan China? Adakah kerana terdapat banyak perkara yang perlu dipertaruhkan terutama hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia dengan China?

Cukup memalukan, apabila pemimpin-pemimpin Pas yang berada dalam kerajaan cukup lantang menentang konsert penyanyi antarabangsa di negara ini telah berdiam diri berhubung kekejaman yang jelas dilakukan setiap hari terhadap etnik Uighur.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai sebuah negara Islam untuk menjadi suara kepada saudara seagama yang disekat untuk bersuara seperti etnik Uighur. Janganlah kita jadikan keuntungan ekonomi dan kewangan sebagai penghalang.

Jika Malaysia mengutuk China secara terbuka atas tindakan mereka terhadap etnik Uighur, ini akan memberikan mesej kuat bahawa kita sebagai sebuah negara tidak akan gentar dengan prospek kerugian dari segi ekonomi.

Pada masa sama, ia akan mewujudkan satu norma baharu yang boleh dicontohi negara-negara Islam lain untuk menyampaikan mesej sama kepada China bahawa kekejaman itu perlu dihentikan segera.

Sebenarnya, Malaysia tidak akan bersendirian mengecam tindakan China kerana negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia juga mengutuk kekejaman berkenaan.

Rakyat rindukan pemimpin seperti dahulu yang begitu lantang menentang pelanggaran hak asasi manusia. Ini akan membawa mesej bahawa kita tidak gentar dengan negara kuasa besar seperti China. – UTUSAN

SODIQ, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya