Pinda segera Akta Pengangkutan Jalan 1987 - Utusan Malaysia

Pinda segera Akta Pengangkutan Jalan 1987

IBU bapa kepada remaja berusia di bawah 18 tahun yang terlibat dengan lumba haram harus dikenakan tindakan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 18 September lalu, keseronokan sekumpulan remaja berlumba haram berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut setelah berlanggar sesama sendiri dalam kemalangan di Kilometer 102.2, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungai Petani, Kedah.

Sehubungan itu, saya berharap kerajaan dapat menyegerakan cadangan untuk meminda Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain.

Seperti diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, antara cadangan pindaan itu adalah kadar minimum saman kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam kegiatan mat rempit dinaikkan.

Sebagai contoh, sebelum ini mereka berlumba haram dikenakan saman RM300, mungkin dengan cadangan pindaan akta ini, kadar saman dinaikkan sehingga RM5,000 atau RM10,000.

Malah, saya bersetuju dengan cadangan ibu bapa kepada remaja berusia di bawah 18 tahun yang terlibat dengan lumba haram juga dikenakan tindakan.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan remaja terlibat dengan lumba haram. Antaranya terpengaruh dengan wang pertaruhan bernilai sehingga puluhan ribu ringgit jika memenangi perlumbaan.

Mereka sanggup mengubah suai motosikal untuk menjadi lebih laju daripada kebiasaan demi wang yang dipertaruhkan. Mereka tidak menyedari apabila menambah kelajuan, ia juga seperti mengejar kematian.

Selain itu, pemilik bengkel yang terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram juga perlu dikenakan tindakan seperti menyita dan menarik balik lesen perniagaan.

Di pihak kerajaan, mungkin boleh melaksanakan masa berkurung, iaitu menetapkan waktu tertentu remaja tidak boleh keluar rumah seperti selepas pukul 11 malam. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya