SAUDARA PENGARANG,
JUMAAT ini kita akan menyambut Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun. Dalam tempoh sebulan ini, kita telah menyaksikan Jalur Gemilang berkibaran megah ditiup angin.
Spontan air mata bergenang membayangkan perjuangan generasi sebelum merdeka yang bertungkus lumus menuntut kemerdekaan daripada penjajah.
Darah, keringat dan air mata menjadi taruhan mereka yang bermatian mempertahankan tanah air tercinta tetapi semua itu tidak dipedulikan hanya untuk memastikan negara bebas daripada cengkaman penjajah.
Kelaparan dan kebimbangan bukan seminggu atau sebulan malah bertahun-tahun yang harus dilalui oleh rakyat pada waktu itu.
Ini lebih teruk berbanding kita yang pernah diuji dengan hidup terkurung sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19.
Itu pun telah cukup menimbulkan rasa resah, malah ada yang marah kerana tekanan ekonomi akibat kehilangan sumber mata pencarian.
Apa pun yang pernah kita lalui, tidak sama dengan situasi dilalui oleh generasi sebelum merdeka. Pengorbanan menentang penjajah yang beratus tahun akhirnya terbayar menerusi kejayaan bebas daripada cengkaman kuasa luar.
Justeru, generasi selepas merdeka harus memelihara kemerdekaan ini dengan sebaik-baiknya. Menghargai kemerdekaan adalah dengan cara mengibarkan bendera kebangsaan kita.
Perasaan kita akan gembira dan terharu bila Jalur Gemilang berkibaran di merata tempat. Betapa bertuah dan bangga menjadi anak Malaysia.
Dalam pada itu, rasa sedih juga bila media massa melaporkan ada segelintir yang harus dipaksa untuk mengibarkan Jalur Gemilang, malah amaran denda juga dikenakan jika tidak berbuat demikian.
Tetapi menghukum mereka yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang tidak boleh secara melulu kerana kita tidak pasti apa puncanya. – UTUSAN
JAZLIZA JAMALUDDIN, Universiti Utara Malaysia (UUM)