SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2022 negara ini adalah sebanyak 8.9 peratus.
Ia adalah yang terbaik di Asia Tenggara berbanding kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom, China dan sebagainya.
Angka yang menunjukkan nilai KDNK adalah angka besar yang merumuskan prestasi sesebuah ekonomi. Adalah menjadi matlamat utama setiap negara untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi cepat dengan mensasarkan nilai KDNK yang maksimum.
Setiap masa, isu mencapai nilai KDNK yang tinggi dijadikan bahan utama dalam media. Kita sentiasa dihujani dengan berita-berita yang berkaitan dengan pencapaian KDNK ini.
Persoalannya kenapakah kita memberi fokus sedemikian rupa kepada nilai KDNK ini? Pada kebiasaannya, negara yang mencapai KDNK tinggi dapat menikmati taraf hidup yang tinggi dan kualiti hidup selesa.
Negara yang mencapai KDNK tinggi juga dapat menikmati banyak peluang pekerjaan. Oleh kerana itu, polisi-polisi ekonomi yang boleh mencapai KDNK tinggi ini amat berharga dan sentiasa disemai.
Secara amnya, ahli-ahli ekonomi bersetuju iaitu terdapat empat faktor utama yang boleh meninggikan KDNK iaitu modal fizikal, modal manusia, sumber-sumber asli dan pembaikan dalam teknologi serta inovasi.
Ahli-ahli ekonomi bersetuju dalam keadaan sekarang faktor teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang efisien dan cekap. Itulah sebabnya perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) semakin meningkat.
Bagi mencapai KDNK yang tinggi, polisi-polisi akan berada di sekitar faktor-faktor ini. Sebenarnya, nilai KDNK dalam sesuatu tahun tidak mengukur kadar pertumbuhan sesuatu negara.
Kadar pertumbuhan ekonomi sesuatu negara itu hanya dapat dikira dengan mengambil nilai sebenar KDNK tahun ini dibandingkan dengan nilai sebenar KDNK tahun lepas. Nilai sebenar KDNK ialah nilai nominal KDNK yang dibuang pengaruh inflasi.
Rokok
Dalam pada itu, kadar KDNK tidak lengkap dan sempurna untuk mengukur prestasi semua sektor ekonomi. Terdapat beberapa sebab yang menjelaskan bahawa pengukuran KDNK itu tidak sempurna.
Pertama, ia hanya mengambil kira nilai barangan dan perkhidmatan yang dibeli oleh pengguna-pengguna sahaja. Ia tidak mengambil kira nilai-nilai perkhidmatan yang tidak dibayar upah seperti perkhidmatan suri rumah.
Kedua, kritikan utama kepada pengiraan KDNK ialah pengukurannya gagal mengambil kira kesan-kesan ekonomi luaran sama ada positif atau negatif yang memberi kesan kepada kesejahteraan atau kebahagiaan.
Sebagai contoh, jumlah pengeluaran industri rokok dan industri minyak juga diambil kira dalam angka KDNK. Kedua-dua industri ini menghasilkan pencemaran alam yang tidak diambil kira dalam pengiraan KDNK.
Ketiga, pengiraan KDNK juga tidak mengambil kira kos kepada generasi masa depan akibat penggunaan hari ini. Misalnya, KDNK tidak mengambil kira sebarang aktiviti merosakkan alam sekitar yang menjejaskan generasi akan datang. Kesan kepada kesejahteraan dan kebahagian akibat perubahan iklim tidak juga diambil kira oleh KDNK.
Disebabkan, kepincangan-kepincangan KDNK ini, timbul idea untuk menggantikannya dengan kayu ukur ekonomi lain bagi mengambil kira kesejahteraan dan kebahagiaan.
Negara Bhutan telah menggunakan Indeks Kebahagiaan Negara Kasar (GNH) bagi menggantikan KDNK pada 1970-an.
Ada pendapat yang mengatakan tercetusnya krisis kewangan 2008 adalah kerana kerajaan terlalu memberi tumpuan bagi menaikkan KDNK sehingga ‘menutup mata’ soal kenaikan hutang pada waktu itu. – UTUSAN
NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)