Malaysia perlu wawasan jangka panjang baharu - Utusan Malaysia

Malaysia perlu wawasan jangka panjang baharu

MALAYSIA memerlukan gagasan jangka panjang baharu kerana Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bersifat jangka pendek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI warganegara kita amat bertuah kerana dapat hidup aman dan damai di bumi yang bernama Malaysia ini. Tanah air kita dianugerahkan dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang menjadikannya unik dan beraneka.

Di sebalik kepelbagaian itu, kita mampu mengekalkan kemerdekaan selama 65 tahun dan berjaya mencapai pelbagai kejayaan di sepanjang tempoh tersebut.

Walaupun begitu, perancangan hala tuju jangka panjang Malaysia yang bakal mencapai 100 tahun dalam tempoh 35 tahun dari sekarang masih tiada.

Jujurnya, Malaysia masih belum ada matlamat yang jelas setelah tamatnya Wawasan 2020 yang mengambil masa selama 29 tahun. Walaupun kerajaan telah memformulasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, ia bersifat jangka masa pendek dan tidak dihayati oleh kebanyakan rakyat Malaysia sendiri.

Hal ini membuktikan bahawa Malaysia amat memerlukan sebuah wawasan baharu yang segar bagi memperbaharui idealisme negara.

Justeru, timbul keperluan untuk mewujudkan wawasan baharu yang dikenali sebagai Gagasan 100 Tahun Malaysia Merdeka. Untuk rekod gagasan ini merupakan idea Profesor Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz semasa beliau menjawat jawatan sebagai Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Gagasan ini mesti dibawa ke peringkat nasional untuk dibahaskan dengan lebih komprehensif oleh rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, perbahasan tentangnya perlulah bermula dari bawah ke atas.

Pendekatan sebegini perlu diambil agar segenap lapisan masyarakat dapat terlibat sama dalam merancang masa depan negara. Selain itu, pendekatan ini juga perlu diambil agar gagasan ini bersandarkan kepada realiti dan idealisme masyarakat kita sendiri.

Berikut antara yang perlu dimasukkan ke dalam gagasan itu dari sudut sosial negara ataupun lebih spesifik lagi adalah soal jati diri masyarakat Malaysia.

Dalam aspek ini, Rukun Negara dilihat mampu menjadi nadi yang memacu pembangunan sosial negara. Lima prinsip utama di dalam Rukun Negara itu perlu ditanam dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.

Undi18

Menjadi rakyat Malaysia adalah untuk menjadi masyarakat yang percaya kepada Tuhan mengikut agama masing-masing dan Islam sebagai terasnya yang selari dengan semangat Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara juga patut menjadi cermin kepada semangat patriotisme negara. Prinsip ketiga dan keempat pula adalah saling berkait dan tujuannya adalah untuk melahirkan masyarakat yang patuh kepada undang-undang.

Prinsip terakhir yang menekankan kesopanan dan kesusilaan pula adalah refleksi terhadap budaya masyarakat Malaysia yang elok budi pekertinya.

Dari sudut ekonomi pula, pembangunan yang lebih saksama perlu diberikan penekanan kerana fokus pembangunan negara pada ketika ini adalah lebih tertumpu di Kuala Lumpur.

Di samping itu, aspek politik ataupun pentadbiran negara juga perlu diperkasakan lagi. Terdapat pelbagai kejayaan yang telah kita lakarkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini antaranya dengan pelaksanaan Undi18 dan juga kelulusan Akta Anti Lompat Parti.

Bagi menambah baik sistem pentadbiran negara, antara perkara yang perlu direalisasikan dalam tempoh 35 tahun yang akan datang adalah dengan memantapkan lagi sistem perkhidmatan awam negara.

Sehubungan dengan itu, antara kaedah yang boleh dibuat adalah dengan mengurangkan karenah birokrasi dalam pentadbiran negara.

Walaupun birokrasi itu bagus dalam menjamin keteraturan sesebuah sistem, birokrasi yang berlebihan pula adalah terbuka kepada gejala rasuah yang boleh menyebabkan pereputan kepada sistem pentadbiran negara. – UTUSAN

MUHAMMAD SULAIMAN BADRI MOHD. RAZALI, Pelatih industri di Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya