Lindungi golongan berisiko dijangkiti penyakit - Utusan Malaysia

Lindungi golongan berisiko dijangkiti penyakit

KERAJAAN harus mempermudahkan akses orang ramai untuk mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 7 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Khairy lagi, pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan kawasan tertutup kini atas pilihan sendiri iaitu pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai atau sebaliknya.

Meskipun pemakaian pelitup muka kini adalah pilihan, namun terdapat beberapa situasi yang pemakaiannya masih diwajibkan iaitu jika seseorang positif Covid-19 dan ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi, kapal terbang, bas, van pekerja serta van sekolah.

Kami berpendapat keputusan tersebut meningkatkan risiko semua orang dijangkiti Covid-19, lebih-lebih lagi orang kurang upaya (OKU), mereka dengan sistem keimunan yang terkompromi dan warga emas.

Seseorang tidak perlu tergolong dalam kumpulan-kumpulan tersebut untuk memahami risiko buruk yang boleh dialami jika terdedah kepada Covid-19. Pengumuman tersebut menyatakan bahawa memakai pelitup muka merupakan galakan dan pilihan sendiri semata-mata, bukan kewajipan.

Adalah menjadi tanggungjawab individu untuk memelihara orang berisiko daripada terjangkit sedangkan ia merupakan tanggungjawab kerajaan. Tindakan kerajaan dalam menangani penyebaran Covid-19 yang berlaku secara bawaan udara, yakni medium penyebaran paling kerap adalah tidak memadai.

Beberapa kajian sains mendapati virus yang wujud secara bawaan udara mampu berlegaran di dalam bangunan berjam-jam setelah orang yang dijangkiti berada di situ. Dengan ini, pelitup muka paling berkesan dalam mengekang penyebaran Covid-19.

Sebar

Namun, bukan sahaja peraturan memakai pelitup muka dilonggarkan, malah tiada penambahbaikan pada sistem pengudaraan premis untuk mengelakkan penyebaran secara bawaan udara.

Tambahan pula, walaupun sebahagian besar penduduk telah mendapatkan vaksin termasuk dos penggalak, banyak lagi hospital tidak menawarkan dos tambahan itu dan maklumat mengenainya masih belum mudah didapati.

Hal ini memburukkan penyebaran pelbagai varian Covid-19 dalam kalangan penduduk dan meningkatkan risiko jangkitan semula yang mampu memberi kesan jangka panjang lantas mengurangkan keupayaan seseorang secara kekal.

Langkah melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka yang tidak didahului tindakan untuk mengelakkan penyebaran Covid-19 secara holistik merupakan keputusan yang membatasi pergerakan orang berisiko, khususnya dalam ruang dipenuhi orang tidak memakai pelitup muka, lantas membatasi akses mereka.

Tingkatkan kualiti sistem pengudaraan, akses kepada dos penggalak, subsidi yang lebih banyak kepada kelengkapan pencegahan Covid-19 seperti pelitup muka dan kit ujian kendiri (RTK), wajibkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan serius menangani Covid-19.

Kami mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih serius untuk mengekang penyebaran Covid-19 dan memelihara komuniti yang paling berisiko. Bagi mereka, situasi kini tidak berbeza dari zaman awal Covid-19.

Kami memahami sudah sampai masanya masyarakat bergerak ke hadapan dan tidak dibelenggu pandemik berkenaan tetapi ia hanya dapat dibuat apabila komuniti paling berisiko dilindungi. – UTUSAN

‘IZZ DAENIE & AUDREY CHAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya