SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas laporan berita dalam Utusan Malaysia pada 10 September lalu bertajuk Penyelarasan antara agensi lemah punca pencemaran air sukar diatasi.
Laporan yang memetik kenyataan Pegawai Penyelidik Kanan Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. Mageswari mendedahkan kelemahan penyelarasan dan perancangan antara agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan masalah pencemaran air sukar diatasi.
Sehubungan itu, dicadangkan ditubuhkan satu badan khas yang mempunyai kuasa bagi melindungi sumber air negara terutama daripada kerja-kerja pembangunan kawasan perumahan dan perindustrian tanpa kawalan sehingga berlakunya pencemaran bekalan air negara dan sungai menjadi cetek.
Sebanyak 3,933 kes pencemaran air termasuk sungai dan tasik direkodkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam tempoh empat tahun sejak 2018 sehingga Ogos lalu.
Saya bersetuju dengan cadangan ini kerana tidak mahu fenomena beberapa batang sungai di dunia kering akibat kemarau yang berpunca daripada pemanasan global dan iklim ekstrem dunia berlaku di negara ini.
Sungai boleh menjadi cetek dan tidak mustahil kering apabila tanah-tanah daripada kerja pembangunan masuk ke dalam sistem saliran kita.
Sungai juga adalah sumber bekalan air mentah di negara ini. Tidak mustahil penduduk akan mengalami krisis air akibat sungai tercemar atau kering sehingga bekalan tidak boleh disalurkan untuk dibuat minuman dan mengairi kawasan tanaman terutamanya tanaman makanan.
Justeru, jangan berbangga negara mempunyai sumber air yang banyak kerana air sungai dan tasik yang kotor dan tercemar boleh mengganggu bekalan air bersih dan tidak mustahil mewujudkan krisis bekalan air di kemudian hari.
Oleh itu, pihak berkuasa dan rakyat perlu sama-sama menjaga dan memelihara sumber air ini agar tidak tercemar dan sentiasa bersih.-UTUSAN
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang