SAUDARA PENGARANG,
SIKAP keterbukaan amat penting dalam kehidupan setiap insan. Agama Islam mendidik dengan keterbukaan. Keterbukaan dari sudut akidah difahami daripada wahyu al-Quran dalam surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.
Di samping itu, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya kami cipta kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan kabilah agar kamu saling mengenali, sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”. Wahyu ini menegaskan kewujudan kepelbagaian budaya dan hikmahnya adalah manusia boleh saling mengenali dan memberi manfaat antara satu sama lain.
Realiti kehidupan masyarakat Malaysia terdiri daripada warga yang datang dari pelbagai rumpun, bangsa, bahasa, agama dan budaya. Justeru, amalan sikap keterbukaan meraikan kepelbagaian amat penting, malah ia menjadi pemangkin perpaduan, keharmonian dan kemakmuran keluarga Malaysia.
Kelestarian umat bertamadun amat bergantung kepada ketinggian adab setiap individu dalam melayari kehidupan bermasyarakat. Sensitiviti budaya dan agama perlu difahami demi mengelak ketegangan hubungan dan mengundang permusuhan. Ia terbukti apabila ada individu yang tidak bertanggungjawab menyentuh sensitiviti agama misalnya dan akhirnya melahirkan masyarakat biadab tanpa adab dan tata susila yang murni.
Adab tidak hadir tanpa ilmu dan amal. Ia bagai isi dengan kuku. Akal yang sihat jika disinari dengan ilmu yang benar akan membenihkan adab yang disuburkan dengan amalan yang menghiasi akhlak dan tingkah laku yang mendamaikan serta menyenangkan hati yang mendekati.
Mutakhir ini terdapat beberapa individu yang mengaku Islam telah tampil dengan berani menghina agama Islam di khalayak ramai seperti yang tersebarluaskan melalui media sosial. Fenomena ini amat menyedihkan dan menonjolkan ketandusan ilmu dan adab. Adakah mereka sekadar cari makan dengan popularit di media sosial? Jika jawabannya adalah ya, ini bermakna virus media sosial kelihatan lebih bahaya berbanding Covid-19 kerana ia bukan sekadar membunuh intelek malah adab dan tata susila pengguna.
Tuntasnya, keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian ada batasnya dan sempadan sebagai tanda adab dan bertatasusila. Ayuh Keluarga Malaysia kita berhijrah kepada kualiti hidup yang lebih beradab dan bertamadun!-UTUSAN
DR. AIZAN ALI@MAT ZIN
Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya