SAUDARA PENGARANG,
SUDAH tiba masanya konsep keselamatan negara diperkukuhkan dengan pelbagai elemen keselamatan untuk menjaga hak individu dan masyarakat.
Keselamatan bukan hanya melibatkan ketenteraan semata-mata sebaliknya turut membabitkan langkah mengetatkan sekuriti pengguna dalam sektor perbankan. Tindakan itu adalah wajar susulan peningkatan kes penipuan terhadap pengguna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bayangkan simpanan yang ada sekarang lesap sekelip mata disebabkan satu panggilan telefon sahaja. Terdapat pelbagai jenis penipuan seperti Macau Scam, skim cepat kaya dan pelaburan.
Penipu bijak memperdaya untuk meyakinkan mangsa bagi berkongsikan maklumat peribadi atau terus melakukan transaksi.
Seterusnya bagi mengekang kebocoran maklumat peribadi, masyarakat dinasihatkan tidak sesekali memasukkan data penting seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat rumah dalam profil Facebook.
Hal ini bagi mengekang penyalahgunaan maklumat peribadi pengguna Facebook untuk tujuan tidak baik.
Sekiranya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel mengatakan telah memenangi sesuatu hadiah, barangan, baucar percutian dan sebagainya hendaklah membuat pengesahan dan semakan terlebih dahulu dengan syarikat yang dinamakan dalam SMS atau e-mel itu.
Sekiranya SMS atau maklumat tersebut tidak dapat disahkan dan diragui adalah perlu untuk mengabaikannya. Jangan balas SMS atau memanjangkan e-mel kepada orang lain kerana ia akan menyebarkan lagi penipuan.
Kesimpulannya, langkah terbaik yang perlu diambil sekiranya merasakan diri telah menjadi mangsa penipuan, hubungi pihak bank dan lapor transaksi yang terlibat dan kemudian membuat laporan kepada polis. – UTUSAN
MOHAMED SHAFIQ AYUB
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan