SAUDARA PENGARANG,
SETELAH dua tahun tiada sebarang acara secara fizikal ekoran pandemik Covid-19, sambutan Hari Kebangsaan 2022 kali ini dilihat amat luar biasa dengan penyertaan ribuan rakyat Malaysia membanjiri Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu.
Sebagai antara pengguna (saya, suami dan anak-anak) tren transit aliran ringan (LRT) Rapid KL bagi menghadiri sambutan itu, saya sangat kecewa dengan perkhidmatan yang disediakan oleh Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail).
Saya tidak pasti bagaimana pula perkhidmatan pengangkutan awam yang lain seperti komuter, transit aliran massa (MRT) dan monorel.
Saya faham lonjakan jumlah penumpang antara faktor kesesakan di beberapa stesen terutamanya Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya.
Namun, bukankah Rapid Rail sudah boleh menjangkakan perkara tersebut akan berlaku memandangkan sudah beberapa tahun tiada sambutan sebegitu. Pihak Rapid Rail juga sepatutnya memberi tumpuan kepada dua stesen utama itu bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar.
Antara kelemahan yang saya perhatikan ialah mesin jualan tiket yang bermasalah di Stesen LRT Bandaraya dan tiada atau kurang pegawai perkhidmatan dan polis bantuan.
Tiada kawalan dibuat ketika orang ramai memenuhi kiri dan kanan laluan Stesen LRT Bandaraya. Bayangkan jika berlaku kecemasan atau yang ingin pulang awal.
Berlaku kesesakan di pintu masuk, kad imbas tidak berfungsi dan sebagainya. Saya turut melihat kesusahan pergerakan ibu bapa yang membawa anak kecil khususnya menolak kereta sorong bayi, wanita dan orang tua.
Justeru, saya berharap kerajaan campur tangan dalam hal ini bagi memastikan pihak pengurusan Rapid Rail lebih peka, efisien dan bersedia lebih awal untuk acara besar seperti ini di masa akan datang.
Memang agak tidak adil apabila kami diminta menggunakan pengangkutan awam, tapi akhirnya kami yang menjadi mangsa. – UTUSAN
PENGGUNA LRT KECEWA, Kuala Lumpur