SAUDARA PENGARANG,
ESOK adalah rutin mingguan diadakan solat Jumaat. Ia adalah satu kewajipan ke atas setiap lelaki Islam yang mencapai umur baligh, berakal dan bermukim di suatu tempat serta tidak mempunyai keuzuran.
Kegagalan untuk hadir menunaikan solat Jumaat tanpa sebab-sebab kukuh boleh menyebabkan seseorang itu berdosa dan dikunci hatinya sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci mati jantung hatinya.” (Riwayat Abu Daud)
Sudah menjadi kebiasaan apabila ramai jemaah hadir menunaikan solat Jumaat di mana-mana masjid berdekatan, ia tidak dapat menampung kapasiti umat Islam yang ramai.
Paling ketara adalah tidak dapat menampung jumlah motosikal dan kereta kerana keluasan tempat meletak kenderaan yang terhad. Pada masa sama, kehadiran jemaah dalam memenuhi kewajipan bersolat Jumaat menyebabkan segelintir mereka terleka dengan akhlak dan adab sesama kita yang perlu terus dijaga.
Sememangnya dalam kalangan kita terpaksa meneruskan tugasan kerja hingga saat akhir menyebabkan kita lambat ke masjid. Justeru, kita sukar untuk mencari tempat letak kereta yang sesuai sehingga terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis-lapis.
Kita memahami kekangan yang dihadapi oleh pihak masjid dan juga pengguna jalan raya berkaitan isu meletak kenderaan secara berlapis-lapis.
Namun, individu yang meletak kereta sedemikian perlu mempunyai akhlak yang baik dengan tidak menyusahkan orang lain.
Segelintirnya gemar keluar lewat dari masjid selepas solat Jumaat. Hal ini menyebabkan pemilik kenderaan lain menjadi mangsa keadaan akibat tingkah laku kita yang mengambil mudah dan bertindak secara sambil lewa.
Ubahlah sikap dan akhlak kita agar lebih berhemah dan bertimbang rasa ketika meletak kenderaan secara berlapis-lapis.
Semua pihak memahami kekangan keluasan tempat meletak kenderaan di masjid, cuma jangan kita mengambil kesempatan. – UTUSAN
DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN
Universiti Utara Malaysia (UUM)