Jangan ada lagi wakil rakyat perlekeh undi pengundi - Utusan Malaysia

Jangan ada lagi wakil rakyat perlekeh undi pengundi

FENOMENA lompat parti melibatkan ahli-ahli Parlimen tidak akan berlaku lagi pada masa depan. –GAMBAR HIASAN/JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PALING awal dalam tempoh beberapa hari lagi, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti akan dikuatkuasakan.

Ini berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini bahawa RUU berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada penghujung bulan lepas.

​Pindaan RUU ini sejajar dengan semangat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan bersama Pakatan Harapan. Ia akan membuka lembaran baharu kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Ini kerana sebelum ini sudah banyak isu berkaitan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti tanpa rasa bersalah.

Sebenarnya sebelum pindaan RUU ini, fenomena lompat parti tidak menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang tetapi hanya dilihat salah di sisi moral semata-mata. Berlaku juga beberapa negeri yang bertukar kerajaan setelah beberapa ADUN bertukar khemah politiknya.

​Lantaran itu, pindaan kepada beberapa perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan, misalnya dalam Perkara 10 membawa satu kesan yang besar. Hasil daripada RUU ini, hak untuk berpersatuan bagi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertakluk kepada sekatan oleh Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan.

Sekatan ini amat penting kerana sebelum ini ahli-ahli yang melompat mengguna pakai Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan justifikasi mereka melompat.

Perlekeh

Pengenalan Perkara 49A dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kerusi seorang wakil rakyat akan menjadi kosong sekiranya dia melepaskan keanggotaan parti politiknya atau tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut.

Selain itu, perkara sama juga menyatakan mana-mana ahli Dewan Rakyat semasa menjadi ahli dewan itu, dia tidak menganggotai mana-mana parti tetapi kemudian menjadi mana-mana parti politik, kerusinya turut akan dikosongkan.

Perkara 49A (1) perlembagaan ini amat jelas maksudnya. Apa pun yang berlaku, seorang ahli Parlimen tidak boleh berpindah pihak atau kumpulan selepas mereka dilantik sebagai ahli Dewan Rakyat. Ini akan membuatkan ahli-ahli Dewan Rakyat berpegang kepada parti yang membawa mereka ke Dewan Rakyat.

Ia juga akan mengurangkan kebarangkalian mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada mulanya bertanding atas kapasiti Bebas tetapi kemudian memilih untuk menganggotai mana-mana kumpulan politik dalam Dewan Rakyat.

Selain pindaan kepada pengenalan Perkara 49A, terdapat yang sama pentingnya iaitu pindaan kepada Perkara 160 berhubung tafsiran parti politik.

Pindaan ini akan memberikan tafsiran jelas berhubung dengan parti politik yang sebelum ini tiada dinyatakan di mana-mana dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, tafsiran parti politik akan melengkapi perkara berhubung Perkara 49A1 tersebut.

Tuntasnya, pengenalan RUU ini menunjukkan aspirasi dan suara rakyat secara keseluruhannya didengar dan diraikan. Ini bukan sahaja berkenaan hak ahli dewan untuk berpolitik tetapi hak rakyat untuk memastikan ahli dewan tidak memperlekehkan suara pengundi. – UTUSAN

KU AMIRUL FAIZ KU SEMAN, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya