Jangan abai ramalan berlaku banjir besar - Utusan Malaysia

Jangan abai ramalan berlaku banjir besar

LAPORAN cuaca sepatutnya menampilkan visual secara langsung daripada sistem radar yang mengandungi elemen seperti arah pergerakan angin dan taburan hujan. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini mengeluarkan amaran tentang ancaman banjir besar yang bakal melanda negara pada November ini.

Selain itu, negara-negara Eropah juga sedang berhadapan kemarau paling buruk dalam tempoh 500 tahun. Sementara itu, Pakistan terus bergelut dengan banjir terbesar di dalam sejarahnya yang menenggelamkan sepertiga negara tersebut.

Ini hanya sebahagian contoh cuaca ekstrem, kesan daripada kecemasan iklim yang dikatakan akan menjadi norma baharu kehidupan kita.

Memetik laporan Keadaan Iklim 2021 oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), cuaca ekstrem seperti taburan hujan luar biasa, gelombang haba atau suhu sejuk melampau, kemarau berpanjangan serta ribut tropika di kawasan yang biasanya tidak terdedah kepada cuaca sebegini adalah antara contoh keadaan cuaca melampau yang tidak pernah dialami dengan kerap sebelum ini.

Justeru, adalah penting untuk media, terutamanya media elektronik seperti stesen televisyen memberikan lebih penekanan kepada laporan cuaca.

Ini kerana, sehingga 99 peratus daripada isi rumah di negara ini boleh dicapai menerusi televisyen, berbanding 95.5 peratus yang dapat mengakses internet seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Statistik Malaysia.

Sebagai contoh, liputan berkaitan ramalan cuaca harian serta cuaca ekstrem perlulah diberi penekanan dengan penyediaan segmen khusus di dalam siaran berita di stesen televisyen, terutamanya pada waktu perdana.

Dalam hal ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) harus diberi pujian kerana telah menyediakan segmen sebegini yang dibawakan secara langsung dari MetMalaysia di dalam hampir setiap siaran berita utama mereka.

Selain itu, seperti yang diamalkan oleh banyak stesen televisyen di negara maju contohnya Perbadanan Penyiaran British (BBC), kapsul-kapsul pendek laporan cuaca boleh juga disiarkan di antara jeda-jeda rancangan yang disiarkan di kaca televisyen.

Grafik

Perkara ini penting kerana cuaca bersifat dinamik yang mungkin sahaja berubah hampir setiap jam. Maka, kapsul-kapsul seperti ini mampu menyampaikan kemas kini penting berkenaan cuaca, terutamanya berkenaan cuaca ekstrem yang mungkin mengancam nyawa dan harta benda.

Dan lebih penting lagi, laporan cuaca di televisyen perlu disampaikan secara lebih menyeluruh dan berkesan. Tidak cukup hanya menampilkan grafik ringkas berkenaan ramalan cuaca dan suhu pada hari-hari tertentu sahaja.

Laporan sepatutnya menampilkan visual secara langsung daripada sistem radar yang mengandungi elemen seperti arah pergerakan angin serta awan, taburan hujan dan jangkaan bilakah satu-satu kejadian cuaca ekstrem bakal sampai di kawasan tertentu di negara kita.

Selain itu, perlu difokuskan kepada usaha-usaha mendidik masyarakat bagaimana mereka dapat bertindak sewajarnya saat kejadian cuaca ekstrem melanda.

Tidak perlulah visual kemusnahan serta akibat buruk sesuatu kejadian cuaca ekstrem ditayangkan secara berulang-ulang sebagai amaran.

Adalah lebih baik jika laporan-laporan ini menampilkan elemen yang membolehkan rakyat membuat keputusan penting dalam melindungi diri dan orang-orang yang disayangi semasa berlaku kejadian cuaca ekstrem.

Apabila terjadi kejadian cuaca ekstrem, tidak ada gunanya untuk kita saling menuding jari dan mencari kesalahan mana-mana pihak. Benar, kita memang tidak boleh mengawal cuaca, terutamanya kejadian cuaca ekstrem.

Namun, kita boleh menentukan cara untuk bertindak dan bereaksi dengan lebih baik sebelum kejadian ini berlaku, tentunya dengan bantuan laporan cuaca yang berkesan menerusi medium penyebaran informasi paling luas jangkauannya iaitu televisyen. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya