Jadikan perbuatan membodek satu jenayah - Utusan Malaysia

Jadikan perbuatan membodek satu jenayah

AMALAN rasuah selalunya difahami oleh orang ramai sebagai perkara yang melibatkan pertukaran wang atau benda berharga. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TARIKH 31 Ogos yang baru berlalu ialah ulang tahun ke-65 kemerdekaan negara. Kemerdekaan bermaksud bebas daripada cengkaman penindasan serta bebas daripada menjadi hamba kepada orang lain.

Malangnya, erti kemerdekaan selalunya dikaitkan dengan kebebasan dari segi fizikal. Oleh itu, maksud kemerdekaan perlu diperluaskan lagi.

Kita harus merdeka dari segi minda dan jiwa dengan menghentikan daripada melakukan perkara-perkara buruk, tidak mendatangkan sebarang faedah serta yang boleh memalukan diri sendiri.

Setiap manusia tanpa mengira latar belakang, kaum serta agama telah dikurniakan oleh Tuhan akal fikiran untuk menentukan yang mana baik dan yang mana buruk.

Kurniaan akal fikiran ini adalah terhad dikurniakan kepada manusia sahaja, tidak kepada makhluk ciptaan Tuhan yang lain seperti haiwan serta tumbuh-tumbuhan.

Adalah penting untuk setiap daripada kita mengunakan akal fikiran kurniaan Tuhan ini untuk melakukan kebaikan sesama manusia serta kepada semua ciptaan Tuhan dan bukannya melakukan perkara yang membawa kepada keburukan.

Antara perkara buruk yang gemar dilakukan oleh segelintir manusia ialah membodek antara satu sama lain. Tiada definisi yang jelas terhadap perkataan membodek ini.

Namun, ia boleh ditakrifkan sebagai satu perbuatan mengampu orang lain dengan mengucapkan sebarang ayat manis atau menggembirakan hati orang yang ditujukan ayat itu walaupun mereka tidak layak menerimanya.

Selain daripada mengucapkan ayat-ayat yang menggembirakan, ia juga boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perbuatan yang dilakukan tanpa sebab yang kukuh atau munasabah bagi menggembirakan hati orang yang hendak ditujukan dengan perbuatan itu.

Perbuatan membodek ini selalunya dilakukan bagi mendapatkan sesuatu sebagai balasan. Jarang orang mengucapkan kata-kata manis ataupun melakukan sesuatu perbuatan itu secara tiba-tiba tanpa sebab.

Pendidikan

Apa jua tujuannya, adalah penting supaya sikap membodek ini disingkirkan dari kehidupan seharian kita kerana ia boleh merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Pendidikan harus diberikan kepada kanak-kanak supaya mereka menghindari sikap suka membodek ini. Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) mengkaji dengan terperinci dan membuat cadangan kepada kerajaan agar amalan membodek bagi mendapatkan sesuatu sebagai sebahagian daripada jenayah rasuah.

Pembodek boleh didakwa di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan rasuah yang ada dalam negara kita.

Mengikut fahaman tradisi pada masa kini mengenai maksud jenayah rasuah adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang itu melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Masalah sekarang suapan di sini selalunya difahami oleh orang ramai sebagai perkara yang melibatkan pertukaran wang atau benda berharga, nyata dan boleh dilihat dengan mata kasar bagi mendapatkan sesuatu sebagai pulangan.

Ia tidak menyatakan dengan jelas perbuatan membodek untuk mendapatkan sesuatu sebagai rasuah. Pindaan boleh dilakukan terhadap takrifan suapan di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan meletakkan kesalahan membodek untuk mendapatkan sesuatu sebagai jenayah rasuah. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya