Hargai 26 juta pemberi ‘nyawa’ - Utusan Malaysia

Hargai 26 juta pemberi ‘nyawa’

SELAIN jurutera yang menghasilkan perkakasan seperti robot, berdiri sebaris dengannya adalah pengatur cara yang menulis perisian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

REVOLUSI Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang banyak diperkatakan sekarang adalah mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti robot dan kecerdikan buatan (AI).

Di sebalik semua teknologi baharu yang dicetuskan oleh IR 4.0, kita harus menyedari peranan pengatur cara komputer yang memberi ‘nyawa’ kepada semua perkakasan tersebut.

Sempena Hari Pengatur Cara Sedunia yang diraikan pada 13 September lalu, kita harus menghargai pengatur cara sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta atas jasa dan pengorbanan membangunkan pelbagai aplikasi untuk kemudahan masyarakat sejagat.

Selain jurutera yang menghasilkan perkakasan, berdiri sebaris dengannya pengatur cara yang menulis perisian, ‘nyawa’ bagi sebuah peranti canggih.

Sering digelar nerd (tidak pandai bersosial), tidak banyak bercakap, hanya menghadap komputer hampir 18 jam sehari dan pelbagai lagi gelaran sinikal, pengatur cara memainkan peranan yang sangat besar dalam memacu negara ke era digitalisasi penuh mencabar.

Terdiri sebagai golongan barisan hadapan, pengatur cara adalah antara wira tidak didendang pada saat pandemik Covid-19 demi memastikan perniagaan, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan komunikasi sesama manusia kekal berfungsi.

Pengatur cara secara umumnya membangunkan segala perisian yang kita gunakan sama ada pengoperasian, pelayar web, aplikasi telekomunikasi, antivirus, permainan komputer, aplikasi media sosial dan sistem-sistem yang biasa kita gunakan di jabatan kerajaan.

Di Malaysia, peranan mereka pastinya sangat besar dalam melaksanakan inisiatif kerajaan seperti MyDigital bagi menuju sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Jika anda masih sangsi tentang peranan besar seorang pengatur cara, bayangkan dunia tanpa Windows, Google, Facebook, TikTok, Waze dan MySejahtera?

Mesin

Komputer bekerja melalui kod-kod arahan dan tugas pengatur cara adalah menulisnya bagi membolehkan ia difahami sebuah mesin.

Pekerjaan ini tidak mudah kerana pengatur cara perlu mempunyai kemahiran berfikir secara logik seperti sebuah mesin, selain mampu menganalisis masalah dengan tabah dan kreatif.

Dengan kata lain, mereka perlu sentiasa memerah otak bagi memastikan keperluan pengguna dipenuhi walaupun adakalanya hampir mustahil atau tidak masuk akal.

Pengguna boleh merancang dan memasang impian tentang apa sahaja seperti mengaplikasikan robot dalam pejabat, kereta automatik tanpa pemandu, penjejakan melalui teknologi neural atau data raya masa nyata.

Namun, ia hanya akan menjadi realiti melalui analisis, reka bentuk, pengujian dan pastinya pembangunan kod atur cara yang dilaksanakan oleh pengatur cara.

Tidak cukup dengan fungsi asas sahaja, faktor-faktor lain seperti kelajuan aplikasi, reka bentuk, ciri-ciri mesra pengguna dan keselamatan perlu dipertimbangkan oleh seorang pengatur cara.

Tugas mereka juga tidak terhenti hanya apabila sesebuah projek berakhir, lantaran keperluan organisasi akan sentiasa berubah mengikut kehendak pengguna dan teknologi.

Sehingga 2021, terdapat 26 juta pengatur cara di seluruh dunia dan angka ini terus meningkat selaras dengan kebergantungan mendadak ke atas teknologi IR 4.0 dan aplikasi digital.

Dalam pada itu, pelaksanaan IR 4.0 menuntut seorang pengatur cara keluar dari kerangka pemikiran lama yang mungkin mereka pelajari 10 atau 20 tahun dahulu di universiti.

Pendekatan dalam pembangunan perisian pada masa kini jauh berbeza kerana pelanggan mahukan perkhidmatan lebih pantas dan efisien serta memberi fokus kepada pengguna. – UTUSAN

AHMAD WIRAPUTRA SELAMAT, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya