SAUDARA PENGARANG,
SAYA tertarik untuk mengulas komen seorang profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga seorang felo kanan dari Akademi Nusantara yang diterbitkan oleh sebuah portal pada 5 Ogos lalu, sebaik sahaja Gerakan Tanah Air (GTA) ditubuhkan.
Kedua pakar ini memberi komen yang menyindir dengan salah seorang daripada mereka mengatakan GTA tidak akan bertahan lama sebaliknya hanya akan wujud selagi Tun Dr. Mahathir Mohamad masih ada. Sementara seorang lagi menyatakan parti politik yang menyertai gabungan ini kurang berpengaruh dan tidak mendapat sokongan rakyat yang besar.
Amat jelas sekali, kedua-dua individu yang dianggap pakar ini gagal memahami apakah itu GTA dan tujuan sebenar ia dilancarkan. Mereka gagal memahami bahawa ini bukan gabungan parti politik semata-mata sebaliknya adalah gerakan rakyat.
Rakyat sudah bosan dengan kepimpinan korup, rakyat yang telah terbuka matanya tentang betapa perlu negara tercinta kita ini dipulihkan.
Amat jelas dilihat komposisi pengurusan dan ahli jawatankuasa GTA yang terdiri dari pelbagai kelompok termasuk parti politik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan ahli akademik serta orang-orang berpengaruh.
GTA merupakan satu gerakan yang melebihi politik. Jangkauannya menyentuh apa yang rakyat mahukan.
Apabila kebanyakan parti politik sibuk berfikir tentang mahu bergabung dengan siapa bagi memperkukuhkan kedudukan, mereka lupa untuk mencari solusi bagaimana mahu menyelesaikan masalah rakyat. Hasilnya, rakyat bangun sendiri dan mahu mengambil alih negara melalui satu gerakan.
Semenjak dilancarkan, semakin banyak NGO dan persatuan Melayu menyertai serta menyokong perjuangan yang dibawa GTA iaitu menolak korupsi, memastikan kelangsungan Melayu dan memulihkan negara. Ia bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai negara yang baik untuk setiap rakyat tidak mengira bangsa dan agama. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)