SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memperbetulkan ulasan yang dibuat oleh pembaca menggelar dirinya Generasi Kedua Felda bertajuk Cukuplah jadikan 1MDB sebagai modal politik yang disiarkan dalam ruangan ini pada 17 Ogos lalu.
Dia mempersoalkan kenapa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak habis-habis menjadikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai modal politik.
Turut dinyatakan sewaktu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, beliau pernah membantu sebuah keluarga yang merupakan peneroka Felda mendapatkan RM15,000.
Ini adalah bagi membolehkan pasangan suami isteri itu ke tanah suci bagi menunaikan umrah sedangkan didakwa peneroka tidak mendapat apa-apa sewaktu kali pertama, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerajui negara selama 22 tahun.
Dia juga menyatakan tidak wajar Dr. Mahathir mengatakan orang Melayu pemalas sedangkan kaum itulah yang banyak menyokong kepimpinan bekas Perdana Menteri itu sehingga beliau kembali menerajui negara buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bagi menjawab segala isu yang dibangkitkan itu, saya ingin menyatakan wang dimiliki sesebuah negara ialah hasil dari titik peluh keringat rakyatnya, sama ada melalui kutipan cukai pendapatan atau hasil bumi.
Hutang 1MDB yang ditanggung negara, perlu dibayar sehingga 2039. Jadi, isu 1MDB adalah isu kita, isu rakyat Malaysia yang terpaksa membayar hutang tersebut dengan keringat titik peluh kita, bertahun-tahun lamanya.
Sindir
Ini semua berpunca daripada tindakan pemimpin yang rakus. PRU14 adalah waktu di mana, seluruh rakyat menentang Barisan Nasional (BN), disebabkan isu sama dan Dr. Mahathir diminta untuk memimpin.
Hendak dibandingkan Dr. Mahathir dengan pemimpin yang ada di dalam negara sekarang, lebih-lebih lagi Najib, bagai langit dan bumi.
Selama 22 tahun memerintah, berapa ramai anak-anak peneroka berjaya di dalam pelbagai bidang dan akhirnya menyumbang kembali kepada negara, bangsa dan keluarga sendiri.
Itulah kualiti pemimpin seperti Dr. Mahathir yang membawa pemodenan dan pembangunan kepada negara kita, membangunkan pelbagai industri yang membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk anak-anak peneroka Felda untuk bekerja.
Sayangnya beliau kepada Melayu sehingga sanggup menyindir kita ini malas, supaya kita bangun dan maju. Ramai Melayu yang faham sindiran ini dan bangun memperbaiki diri.
Yang lain juga faham maksud sindiran ini, cuma mereka hidup dalam penafian bahawa hebatnya sebuah negara bernama Malaysia sehingga dikenali dunia adalah hasil kepimpinan Dr. Mahathir.
Bukan cara kita menolong Melayu dengan menggunakan kaedah memberi ikan, bukannya joran. Beri tunai kepada rakyat di sana dan sini, masalah selesai untuk satu hari. Malah, punca hasil tunai juga diragui dari mana datangnya. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang