SAUDARA PENGARANG,
UNTUK pengetahuan kerajaan, ada golongan rakyat yang pada asalnya bekerja makan gaji dan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh tertentu seperti 10 atau atau 20 tahun. Kemudian mereka berhenti kerja sebelum mencapai usia 55 tahun disebabkan oleh beberapa faktor seperti diberhentikan kerja oleh majikan, memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan sebagainya.
Mungkin ketika ini, golongan tersebut memilih untuk bekerja sendiri dengan pendapatan yang agak kurang berbanding ketika makan gaji.
Dengan tuntutan perbelanjaan keluarga masih tinggi, antaranya kerana anak-anak masih lagi belajar di peringkat menengah atau di institusi pengajian tinggi (IPT) atau menghadapi masalah kesihatan, sudah pasti ia memberi bebanan kepada golongan ini.
Justeru, dengan mewujudkan pengeluaran khas untuk golongan tesebut (sebahagian atau keseluruhan simapanan KWSP), dapatlah ia dimanfaatkan oleh golongan berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup ataupun untuk tujuan tertentu seperti menunaikan ibadah haji.
Wang simpanan KWSP adalah hak milik pencarum dan sewajarnya ahli tidak aktif juga dibenarkan untuk mengeluarkan wang tersebut terutamanya untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana mereka tiada pilihan lain selain terpaksa bergantung kepada simpanan KWSP.
Sebelum ini KWSP membenarkan kemudahan pengeluaran melalui i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra berikutan pandemik Covid-19.-UTUSAN
AHLI KWSP TIDAK AKTIF
Kuala Nerang, Kedah