Amalkan tabayyun sebelum sebar berita - Utusan Malaysia

Amalkan tabayyun sebelum sebar berita

KEPENTINGAN konsep tabayyun dalam etika Islam merupakan jalan terbaik dalam menangani isu penyebaran berita palsu dalam media sosial hari ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENYEMAK sesuatu berita serta memastikan kesahihannya melalui kaedah penelitian maklumat secara intensif merupakan sebahagian daripada amalan etika di dalam Islam.

Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenaran dan ketepatannya bagi mengelakkan sebarang unsur-unsur negatif atau perkara yang buruk berlaku seperti fitnah, penipuan atau memburukkan seseorang akibat terjebak dengan bisikan hawa nafsu dan sifat kebencian terhadap Muslim.

Justeru, kaedah tabayyun (menyemak asas kebenaran) adalah selaras dengan pendekatan Islam dan menyahut seruan perintah Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Islam mengajar umatnya agar tidak mudah menerima pengkhabaran tanpa terlebih dahulu memeriksa berita yang diterima daripada orang fasik (berdosa besar).

Dalam menerima maklumat, lihatlah kepada mereka yang berautoriti dan dipercayai serta mempunyai keahlian agar maklumat yang diberikan benar dan tepat. Hal ini bagi mendidik masyarakat supaya menyemak ketulenan fakta.

Selain itu, Islam mengingatkan kepada umatnya agar tidak sewenang-wenang menyebarkan berita yang diterima terutama jika melibatkan aib dan maruah seseorang.

Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aibnya di hari kiamat nanti.” (Riwayat Muslim)

Islam juga mengajar umatnya untuk sentiasa berakhlak mulia dan bersangka baik serta tidak gopoh dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu berita.

Kegagalan mengamalkan konsep tabayyun dalam menerima dan menyebarkan berita akan memberi kesan buruk kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang tiada berkesudahan di dunia dan akhirat.

Justeru, kepentingan konsep tabayyun dalam etika Islam merupakan jalan terbaik dalam menangani isu penyebaran berita palsu dalam media sosial hari ini.

Semoga kita menjadi umat Islam yang sentiasa menjaga etika Islam dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita agar dapat menjamin kemaslahatan bersama. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya