Yakin Malaysia tidak senasib Sri Lanka - Utusan Malaysia

Yakin Malaysia tidak senasib Sri Lanka

MALAYSIA mempunyak banyak kelebihan yang boleh digunakan untuk menarik pelabur asing bernilai tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

EKONOMI Malaysia mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding lima peratus suku pertama lalu. Pengumuman rasmi oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus baru-baru ini sememangnya memanjangkan senarai faktor-faktor baik untuk negara.

Faktor-faktor baik ini termasuk pencapaian suku kedua tahun ini yang melepasi jangkaan diramalkan oleh penganalisis ekonomi tempatan. Lagipun, pencapaian ini hanya kurang sedikit sahaja daripada angka sembilan peratus seperti yang diramalkan oleh penganalisis ekonomi antarabangsa.

Pencapaian cemerlang ini disumbang oleh perkembangan positif dari sektor ekonomi dalam negara seperti kenaikan pengeluaran sektor industri serta perkhidmatan dan perkembangan dalam sektor luar seperti yang ditunjukkan oleh angka-angka dalam akaun perdagangan, akaun modal dan aliran masuk pelaburan asing serta imbangan pembayaran.

Pertumbuhan ekonomi juga disokong oleh pemulihan dalam penggunaan swasta yang sebelum ini telah jatuh akibat inflasi, Covid-19, peperangan Russia-Ukraine dan keadaan ketidaktentuan dalam ekonomi global. Pencapaian cemerlang dalam suku kedua ini juga meyakinkan kita bahawa ekonomi Malaysia berbeza daripada ekonomi Sri Lanka.

Kebelakangan ini ada desas-desus mengatakan kedudukan ekonomi Malaysia adalah sama seperti ekonomi Sri Lanka yang menghadapi krisis muflis dan dijangka dihantui oleh hiperinflasi dan menyusut tahun ini.

Prestasi ekonomi Malaysia ini melebihi apa yang dicapai oleh ekonomi negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura. Ini menunjukkan asas-asas ekonomi Malaysia tetap kukuh. Ia bermakna ekonomi Malaysia telah bersedia dari awal memasuki tahun depan yang lebih mencabar kerana ekonomi global dikatakan menghadapi risiko kemelesetan.

Meleset

Jika momentum ini dapat dikekalkan, prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga dan keempat tahun ini tetap tinggi. Risiko kesan daripada kemelesetan ekonomi global kepada ekonomi Malaysia dapat dikurangkan. Prestasi ekonomi cemerlang ini memberi keyakinan kepada kita bahawa Malaysia berada di atas landasan polisi yang betul.

Sebelum ini kerajaan telah melaksanakan belanjawan defisit dan memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi.

Ternyata, dasar-dasar ini telah membuahkan hasil. Selain itu, kesan-kesan negatif daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) secara mendadak ke atas ekonomi tempatan dapat dikurangkan, tidak seperti jangkaan awal. Polisi monetari negara terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pencapaian ini juga dianggap cemerlang kerana ia dicapai dalam suasana inflasi yang sederhana, penurunan dalam angka pengangguran dan kestabilan sektor kewangan. Selain itu, sektor kewangan negara termasuk perbankan terus kukuh seperti yang dapat diukur dengan jumlah peruntukan, nisbah hutang lapuk dan tahap permodalannya.

Walaupun prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ini cemerlang, kita mesti mengambil langkah-langkah berhati-hati kerana risiko kemelesetan ekonomi global yang semakin tinggi.

Ekonomi global dijangka mengalami kemelesetan pada 2023. Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia tidak terlepas dari menerima kesan-kesan negatif ekonomi global ini.

Sementara itu, pertumbuhan ekonomi China, rakan kongsi perdagangan Malaysia juga dijangka perlahan kerana telah melaksanakan polisi ketat melawan pandemik Covid-19. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya