Wujudkan pasukan teknikal di sekolah

Wujudkan pasukan teknikal di sekolah

KEMENTERIAN Pendidikan perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan satu jawatan khas teknikal di sekolah bagi memantau dan menilai kondisi bangunan dan fasiliti supaya sebarang isu kerosakan yang boleh mendatangkan bahaya dapat diatasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSEKITARAN yang selamat dan sihat adalah satu kriteria wajib bagi menduduki sesebuah bangunan termasuk sekolah. Namun begitu, isu bangunan sekolah yang tidak selamat diduduki sering didengari terutama melibatkan bangunan sekolah yang berusia puluhan tahun.

Tular baru-baru ini insiden bangunan asrama sekolah menengah terbakar 80 peratus yang dikatakan berpunca daripada masalah pendawaian elektrik. Berikutan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon mencadangkan pihak sekolah melaporkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya terdapat bangunan lama yang memerlukan perhatian segera terutamanya jika melibatkan pendawaian elektrik.

Bagaimanapun, kita perlu mengkaji punca utama isu ini berlaku. Kebiasaannya antara punca masalah dalam pendawaian elektrik sehingga menyebabkan kebakaran adalah usia bangunan itu sendiri yang menyebabkan struktur dan fasiliti semakin uzur dan penyelenggaraan tidak dijalankan secara terancang. Apabila kebakaran berlaku, kos yang tinggi diperlukan untuk membaik pulih atau membina semula bangunan. Selain kebimbangan terhadap kos yang tinggi, antara akibat lain perlu ditanggung adalah kecederaan atau kematian penghuni serta gangguan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran.

Justeru, penyelenggaraan yang proaktif wajar dilaksanakan di semua sekolah sebagai langkah pencegahan. Dalam amalan terkini, kebanyakan sekolah hanya mengharapkan guru atau staf melaporkan sebarang kerosakan kepada kementerian.

Sekiranya amalan ini diubah kepada tindakan yang lebih terancang, pengurusan penyelenggaraan di sekolah akan menjadi lebih baik dan manfaat dari aspek kos dan tahap kesihatan persekitaran boleh dicapai. Contohnya, mewujudkan satu jawatan khas teknikal di setiap sekolah bagi memantau dan menilai kondisi bangunan dan fasiliti supaya sebarang isu kerosakan tidak berlanjutan dan mendatangkan bahaya.

Perkara ini wajar dipertimbangkan bagi memastikan bangunan dan fasiliti di sekolah sentiasa memberi impak positif terhadap aktiviti pembelajaran dan psikologi pelajar. Pembentukan generasi kelas pertama perlu bermula di bangku sekolah. -UTUSAN

DR. NURUL NADIAH BINTI ZAINOL
Fakulti Senibina, Perancangan & Ukur
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya