SAUDARA PENGARANG,
PADA 11 Julai lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam Perikatan Nasional (PN) dimeterai beliau sebagai Pengerusi PN.
Ia disaksikan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggubal draf perjanjian. Menurutnya, perjanjian itu diketahui oleh semua kepemimpinan tertinggi PN.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, tidak wujud perjanjian berhubung pelantikan TPM dalam PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.
Bagaimana Bersatu secara bersendirian tanpa mencapai persetujuan bersama dengan presiden komponen parti lain dalam PN boleh mengadakan perjanjian persendirian yang mewakili PN sedangkan ada presiden parti komponen tidak mengetahuinya?
Keadaan ini jelas melanggar pembentukan Majlis Presiden PN yang dianggotai oleh semua ketua parti kerajaan PN sebagai platform untuk membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti secara persetujuan bersama.
Segala perjanjian peribadi (jika ada ) yang tidak mendapat persetujuan bersama dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Majlis Presiden PN adalah tidak sah yang tidak boleh sesekali mewakili PN.
Selain itu, tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan mewujudkan jawatan TPM dalam penubuhan sesebuah kerajaan di negara ini. Sebaliknya hanya keperluan pelantikan barisan Kabinet yang diperuntukkan atas budi bicara Perdana Menteri.
Keputusan pelantikan jawatan TPM adalah atas budi bicara Perdana Menteri di bawah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pelantikan jawatan TPM bergantung atas keperluan kerajaan semasa dan bukannya perjanjian. – UTUSAN
SHEN YEE AUN, Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia