SAUDARA PENGARANG,
KENAIKAN harga barang kebelakangan ini memberi kesan kepada pengguna terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah (B40).
Penarikan subsidi barangan keperluan harian akan menyebabkan harga barang turut mengalami kenaikan sekali gus membebankan rakyat yang sebelum ini sudah terbiasa subsidi daripada kerajaan.
Kesan daripada kenaikan harga ini mungkin boleh menyebabkan pengguna kurang mengunjungi permis perniagaan kerana mahu berjimat cermat.
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai dan mempunyai tangga gaji yang rendah. Mereka perlu berjimat cermat pada masa kritikal ini.
Walaupun menyedari bahawa seluruh dunia turut terkesan dengan kegawatan ekonomi namun tindakan kerajaan menarik subsidi adalah keputusan kurang tepat pada waktu ini.
Ini kerana masih ramai yang kehilangan kerja dan bergelut mencari sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan seharian sejak pandemik Covid-19 melanda.
Malah, saban hari media melaporkan sebilangan rakyat mula mengalami masalah mental dan ada yang membunuh diri akibat kesempitan hidup di era pasca Covid-19 ini.
Jadi, saya berpandangan cukuplah dengan sandiwara politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. Tiba masa untuk tunaikanlah kata-kata keramat yang selalu dilaungkan, ‘kami berjuang untuk rakyat’ dan buktikan kata-kata itu tidak kosong. – UTUSAN
MUHD. KHAIRANI EBRAHIM dan DR. MUHAMMAD RAQIB MOHD. SOFIAN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)