SAUDARA PENGARANG,
KITA akan menyambut Hari Kebangsaan ke-65 pada hujung bulan ini dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Sehubungan itu, kita mesti bersatu dalam menunjukkan semangat patriotisme secara kolektif.
Semangat patriotisme dan perpaduan pada waktu ini sepatutnya tinggi dan disahut semua pihak menjelang 31 Ogos. Namun kenyataannya, penghayatan semangat tersebut masih belum mencapai tahap diharapkan.
Janganlah kita berfikiran yang pengibaran Jalur Gemilang di premis atau bangunan adalah tugas kerajaan atau pihak berkuasa tempatan sahaja.
Ia adalah tanggungjawab bersama selari dengan erti sebenar keharmonian dan perpaduan. Oleh yang demikian, saya menyeru semua pihak untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga.
Kita perlu menggunakan ruang serta peluang secara optimum, tidak kira di rumah, pejabat, mahupun bendera kecil yang dilekat pada kenderaan.
Perlu ingat, semangat patriotisme tidak diukur oleh saiz bendera yang dikibarkan. Perasaan cinta terhadap negara dengan ikhlas dan jujur adalah cukup memadai. Kita tidak perlu diberitahu melalui tema atau kempen untuk mengamalkan sikap dan semangat perpaduan. Kita sendiri boleh mengamalnya tanpa disuruh.
Ia seperti ditunjukkan ketika musibah Covid-19 melalui inisiatif-inisiatif seperti pengedaran bakul makanan, gerobok rezeki dan pelbagai pertolongan lain yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia.
Kesukaran yang dialami bersama pada waktu susah menyerlahkan semangat perpaduan kita. Oleh itu, jangan membenarkan semangat tersebut pudar, lebih-lebih lagi semasa bulan kemerdekaan.
Saya ingin tekankan bahawa Jalur Gemilang adalah inspirasi, pedoman dan peringatan untuk kita semua. Oleh itu, hormati lambang kenegaraan dan kedaulatan negara kita ini. – UTUSAN
YEAP MING LIONG, Subang Jaya, Selangor