SAUDARA PENGARANG,
PENYANYI dan pelakon dari Amerika Syarikat (AS), Dolly Parton cuba menyampaikan sesuatu apabila beliau mengeluh, “Bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang cukup untuk membuat anda gila jika kita membiarkannya.”
Kajian menunjukkan waktu kerja panjang boleh dikaitkan dengan peningkatan kadar kemurungan. Kesan buruk lain ialah insomnia dan tabiat tidak sihat seperti minum berlebihan.
Akibatnya, semakin banyak organisasi buruh meminta minggu kerja yang lebih pendek bagi memberi pekerja keseimbangan antara kerja dan kehidupan lebih baik sekali gus meningkatkan kesihatan mental mereka.
Itu sebabnya 30 syarikat di AS sejak Februari lalu bertukar kepada waktu kerja empat hari seminggu dan mereka komited untuk mencubanya sekurang-kurang selama enam bulan.
Langkah itu diselaraskan oleh sebuah kumpulan advokasi, 4 Day Week Global yang cuba menjadikan kerja empat hari seminggu sebagai standard baharu.
Ini bukan kali pertama rakyat AS bekerja 32 jam seminggu. Ia hampir menjadi standard kira-kira 90 tahun lalu. Pada 1933, Senat AS meluluskan rang undang-undang yang mengurangkan minggu kerja standard kepada hanya 30 jam.
Penyokong rang undang-undang itu termasuk Presiden ketika itu, Franklin D. Roosevelt dan majoriti rakyat AS menerimanya. Walaupun begitu, rang undang-undang itu tidak dilaksanakan kerana pemimpin perniagaan di seluruh negara itu berhimpun untuk menentangnya.
Sebaliknya, Roosevelt memanfaatkan ancaman 30 jam seminggu bekerja untuk memberi tekanan kepada pemimpin perniagaan yang tidak bermoral supaya bersetuju dengan pembaharuan lain seperti mengharamkan buruh kanak-kanak.
Ini termasuk menetapkan gaji minimum AS yang pertama dan berkompromi dengan mengurangkan waktu kerja dari lebih 70 jam seminggu kepada 40 jam seminggu atau lima hari seminggu. – UTUSAN
AZIZI AHMAD, Segambut Luar, Kuala Lumpur