SAUDARA PENGARANG,
IDEA mewujudkan Mara Digital ketika Datuk Seri Ismail Yaakob menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merupakan satu usaha yang sangat bernas dalam melahirkan peniaga Bumiputera dalam perniagaan telekomunukasi digital seperti telefon pintar dan komputer riba yang selama ini dikuasai oleh kaum bukan Melayu.
Namun, kini banyak warga asing seperti Pakistan dan Bangladesh terlibat dalam perniagaan ini seperti yang boleh dilihat di Plaza Low Yat dan Plaza Imbi.
Hal ini boleh merugikan golongan Muda Melayu terutama mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang komputer dan telekomunikasi.
Adalah lebih bagus jika golongan muda Melayu melibatkan diri dalam perniagaan menjual telefon bimbit, komputer dan juga khidmat servis baiki telefon daripada melibatkan diri dalam perniagaan yang tidak berfaedah seperti menjual vape.
Untuk merealisasikan cadangan ini, wujud keperluan untuk kerajaan membuka Mara Digital di bandar-bandar utama di seluruh negara dan menggalakkan peniaga yang bernaung di bawah Mara Digital supaya mempromosikan jualan mereka di platform e-dagang popular bagi menyokong kempen Buy Muslim First (BMF).
Memandangkan permintaan dalam perkhidmatan ini sentiasa ada dan tinggi, jadi ini merupakan peluang atau cara terbaik kerajaan membantu anak muda Melayu agar terlibat dalam perniagaan sekali gus membantu memulihkan ekonomi Melayu.-UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur