SAUDARA PENGARANG,
MUNGKIN belum terlambat untuk saya mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia pada 31 Julai lalu bertajuk Sekolah pondok sebar ekstremis?
Berita tersebut adalah sedutan daripada sesi wawancara dengan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang menyatakan lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremis membabitkan tenaga pengajar dan pelajar institusi berkenaan.
Beliau berkata, paling membimbangkan sekiranya sesebuah institusi dibiar tanpa pemantauan daripada kerajaan. Sebagai ilmuwan agama tersohor tanah air, kenyataan seperti itu amat mengejutkan dan sudah tentu dipandang serius oleh semua pihak berkaitan.
Ramai yang tidak bersetuju, kecewa dan emosional sehingga menuntut beliau memohon maaf secara terbuka. Dakwaan tersebut dianggap satu tuduhan berat, serius, dangkal dan tidak berasas. Antara yang menyuarakan rasa tidak senang dengan kenyataan tersebut ialah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) dan Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia (PMPS).
Walaupun tidak mengenali Mahmood Zuhdi secara peribadi, saya mengekori rapat kegiatan ilmiah beliau seperti buku, jurnal dan syarahan yang diterbitkan. Bahkan, hampir setiap minggu saya mendengar ulasan beliau dan arwah adiknya (juga seorang ahli akademik) membedah kitab al-Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun.
Pada kaca mata saya yang turut terlibat dalam dunia pendidikan tinggi, beliau ialah seorang ilmuwan ulung dalam bidangnya, seorang yang kritikal dan objektif. Oleh itu, sudah tentu kenyataan beliau perlu diperhalusi terlebih dahulu supaya dapat difahami mesej yang hendak disampaikan.
Sebenarnya Mahmood Zuhdi tidak menuduh sekolah pondok menyebarkan fahaman ekstremis tetapi berpotensi ke arah itu jika dibiarkan tanpa pemantauan daripada kerajaan. Inilah kata kunci yang perlu digariskan.
Membaca kenyataan Mahmood Zuhdi, beliau tidak menafikan sumbangan sekolah pondok yang mempunyai kekuatan tersendiri seperti menekankan pembelajaran agama berasaskan kitab turath (klasik) dengan kaedah pengajian dari kulit ke kulit, menekankan adab dan amal serta dididik oleh guru-guru yang berdedikasi.
Kondusif
Namun, suasana sudah jauh berubah. Sekarang kita berada di alaf 21 dan negara telah 65 tahun merdeka. Malangnya, sekolah pondok tidak banyak berubah sama ada dari segi fizikal, silibus, modus operandi dan lain-lain lagi.
Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan memberi perhatian terhadap saranan Mahmood Zuhdi termasuk memberi bantuan dana secukupnya terhadap sekolah pondok agar dapat beroperasi dengan baik dalam persekitaran kondusif.
Penyaluran wang daripada kerajaan adalah penting kerana pada pengamatan beliau, pengendalian sekolah pondok pada hari ini memberi kesan buruk kepada imej Islam itu sendiri apabila ada pentadbir sekolah sampai terpaksa ‘minta sedekah’ di sana sini.
Isu silibus sekolah pondok yang tidak seragam dan selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) perlu ditangani dengan segera oleh pihak berwajib.
Silibus umpama acuan dan FPK adalah acuannya. Justeru, perlu diaudit semua sekolah pondok supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.
Selanjutnya, langkah pemerkasaan pendidikan sekolah pondok harus dijadikan agenda bersama melampaui politik kepartian. Pihak-pihak yang terlibat dan berkepentingan perlu mencari kata sepakat demi kebaikan dan kelangsungan sekolah pondok.
Fikirkan cara bagaimana mahu membangunkan bangsa dengan merangka pembangunan yang berstrategik menerusi transformasi kepada institusi pendidikan pondok.
Saya juga berkongsi kebimbangan beliau iaitu jika sekolah pondok tidak ditransformasi, ia akan melahirkan golongan intelektual yang separuh masak, naif dengan dunia realiti, hidup berpuak-puak dan berbalah kerana berbeza pandangan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZMAN YUSOF, Universiti Kuala Lumpur Kampus Cawangan Institut Teknologi Kimia & Biokejuruteraan Malaysia (UniKL MICET)