SAUDARA PENGARANG,
MENELITI perkembangan semasa, Malaysia dan dunia sedang bergerak pantas menuju fenomena penuaan penduduk menjelang 2030.
Berdasarkan jangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini bakal mempunyai 5.8 juta warga emas pada tahun berkenaan. Berdasarkan perkembangan ini, dasar kerajaan sedia ada dan polisi baharu perlu menitikberatkan kebajikan warga emas.
Penjagaan kesihatan warga emas perlu ditambah baik dan diperkukuhkan agar mereka dapat menerima perkhidmatan lebih efisien dan efektif.
Namun, satu perkara agak menggusarkan pada masa kini adalah isu kesihatan mental dalam kalangan warga emas yang semakin meruncing lantaran krisis kesihatan ekonomi akibat pandemik Covid-19. Kita perlu mencontohi banyak negara yang sudah semakin efisien dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit mental.
Misalnya, kerajaan China memantapkan sistem sokongan kesihatan, merangkumkan pengurusan kesihatan mental hingga peringkat pentadbiran tempatan dan kolaborasi tenaga pakar profesional, pekerja sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan komuniti.
Di samping itu, kerajaan China turut memperkukuhkan sistem penyampaian maklumat terutama sekali ketika pandemik menerusi pelbagai medium penyampaian, memperkemaskan sistem pendidikan awam tentang kesihatan mental dengan menyediakan sumber rujukan lebih banyak dan terperinci berdasarkan jenis dan tahap keseriusan penyakit.
Bahan-bahan bacaan umum menyasarkan golongan berisiko untuk mengalami gangguan kesihatan mental termasuk warga emas. Selain itu, penilaian kesihatan mental dan kaunseling psikologi turut disediakan secara dalam talian dan percuma.
Sejak krisis pandemik, terdapat lebih 300 talian terus disediakan untuk memberi perkhidmatan kaunseling kepada orang ramai.
Komprehensif
Penyediaan perkhidmatan dan penjagaan kesihatan mental lebih komprehensif sebegini mampu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat khususnya warga emas.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2017, lebih 20 peratus warga emas berumur 60 tahun ke atas menderita gangguan mental atau neurologi.
Antara jenis gangguan kesihatan mental yang sering berlaku ke atas warga emas adalah demensia (penyusutan kemampuan minda) dan kemurungan.
Portal MyHealth dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan melaporkan sebahagian pesakit demensia tidak berupaya melakukan aktiviti atau rutin harian dengan sendiri dan memerlukan penjagaan rapi dalam jangka masa panjang.
Tambahan lagi, pesakit demensia turut berisiko mengalami penyakit Alzheimer yang menyebabkan gangguan ingatan dan perubahan tingkah laku.
Masalah kesihatan mental dalam kalangan warga emas ini dijangkakan meningkat selari dengan pertambahan jumlah golongan itu menjelang fenomena penuaan populasi pada 2030.
Berdasarkan contoh dari negara luar, terdapat tiga indikator penting yang perlu diberi perhatian dan diintegrasikan ke dalam dasar dan sistem pengurusan kesihatan mental di negara ini.
Antaranya struktur kerangka institusi yang jelas, tenaga pakar dan tenaga kerja berkemahiran serta kolaborasi NGO dan sukarelawan komuniti serta pendidikan kesihatan mental dan program kesedaran yang holistik dalam kalangan masyarakat.
Struktur sedemikian berupaya untuk memantau dan mengawal peningkatan kes gangguan kesihatan mental. – UTUSAN
DR. NUR HAIRANI ABD. RAHMAN, Universiti Malaya (UM)