SAUDARA PENGARANG,
SAYA pasti ramai dalam kalangan rakyat tidak sedar bahawa penjagaan terutama soal kebersihan peralatan elektrik amat penting bagi mengelak kebakaran. Memang bunyinya agak kelakar, namun apa jua peralatan elektrik jika dibiarkan kotor boleh menyumbang kepada statistik kebakaran dalam negara.
Baru-baru ini, saya membaca kandungan majalah bahasa Inggeris menyenaraikan lima alatan di rumah yang kerap diabaikan sehingga menjadi punca kebakaran.
1. Pembakar roti
Pembakar roti adalah salah satu barangan elektrik yang digunakan setiap hari oleh kebanyakan orang tetapi jarang dibersihkan.
Ia boleh mendatangkan bahaya termasuk kebakaran apabila serbuk roti yang jatuh di bahagian bawah pemanggang menjadi keras dan terbakar apabila pembakar dinyalakan. Jadi, sebaik-baiknya bersihkan kotoran sekerap mungkin bagi mengelak lebih banyak serbuk roti berkumpul di bawah pembakar.
2. Kipas
Kipas yang sangat jarang dibersihkan sehingga habuk melekat pada bilahnya boleh dilihat dari jauh boleh menyebabkan suhunya menjadi panas dan memicu kebakaran. Apabila habuk dan debu memenuhi motor dan penutup kipas, ia dengan mudah meningkatkan suhu dan malang sekali jika ia terbakar.
3. Penyaman udara
Penyaman udara juga berpotensi menjadi penyebab kebakaran di dalam rumah. Bukan kerana habuk yang melekat padanya tetapi kabel wayar. Jika wayar penyambungnya putus, risiko kebakaran rendah, namun boleh mendatangkan bahaya sekiranya ia menggelupas. Ini kerana pada keadaan itu aliran elektrik masih dapat disalurkan. Suhu panas berlebihan berpotensi menyebabkan kebakaran atau litar pintas. Jadi, sentiasalah periksa keadaan penyaman udara anda.
4. Penyedut asap dapur
Membersihkan penyedut asap dapur secara berkala dapat mencegah kebakaran akibat resapan minyak pada alatan itu. Bagi membersihkannya, cukup sekadar menggunakan air panas, serbuk penaik dan sabun pencuci pinggan bagi menyerap minyak dan lemak yang melekat.
5. Pengering rambut
Ketika seseorang menggunakan pengering rambut, kotoran, debu dan minyak dari kepala mula berkumpul dalam saluran alatan itu serta boleh mendatangkan bahaya tanpa disedari. Jika alat pengering rambut anda berbau seperti terbakar, jangan berasa pelik tetapi itu adalah tanda-tanda bahawa ia perlu dibersihkan atau diganti.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan