Peniaga tidak beretika juga punca inflasi - Utusan Malaysia

Peniaga tidak beretika juga punca inflasi

INFLASI tinggi menjadi rungutan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40). – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA diberitahu bahawa inflasi tinggi ada berhubung rapat dengan terputusnya rantaian bekalan barang keperluan asas di peringkat pasaran domestik dan antarabangsa berikutan pandemik Covid-19 dan peperangan Russia-Ukraine.

Negara sedang membangun seperti Malaysia juga tidak terlepas daripada masalah ini. Inflasi tinggi terutama melibatkan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti makanan menjadi rungutan golongan berpendapatan rendah (B40).

Sebenarnya harga mempunyai sifat yang unik. Perubahan harga tidak sama dengan apa diramalkan oleh teori ekonomi yang menganggap harga bersifat fleksibel dan berubah dengan cepat mengikut permintaan dan penawaran atau kadar tukaran mata wang asing.

Dalam praktis harian, harga barang terus naik dan sukar turun walaupun berlaku lebihan kuantiti penawaran barangan kecuali dalam keadaan tertentu. Selain itu, harga juga mungkin dipengaruhi oleh jangkaan pengeluar. Mereka tidak akan menurunkan harga jika menjangkakan harga akan terus naik pada masa depan.

Inflasi juga disebabkan etika perniagaan dalam menentukan harga akhir kepada pengguna. Ramai peniaga runcit memilih mark-up pricing (harga tokokan) yang ditambah kepada harga kos produk kerana mudah dilaksanakan.

Kadangkala praktis menetapkan harga secara mudah ini menjadikan inflasi lebih buruk lagi apabila harga tokokan tinggi dan pengguna pula tidak mempunyai kuasa tawar-menawar di pasaran.

PANGKALAN DATA

Kaedah harga tokokan ini memerlukan pangkalan data lengkap yang merekodkan harga semua input digunakan dalam mengeluarkan barangan bagi memudahkan penetapan harga dibuat. Ketiadaan pangkalan data ini menyebabkan proses penentuan harga akhir kepada pengguna dibuat secara arbitrari (sewenang-wenang).

Mungkin peniaga runcit yang tidak beretika ini mengenakan harga tokokan yang tinggi supaya pendapatan mereka tidak berkurangan. Ini yang menjadi punca kepada rungutan pengguna dan mungkin menjadi sebab kepada isu inflasi.

Struktur pasaran juga mungkin bertanggungjawab dalam menentukan kadar inflasi ini. Di Malaysia, wujud struktur pasaran monopoli dan oligopoli (bilangan penjual terlalu sedikit sehingga setiap tindakan mereka dapat mempengaruhi harga) yang berleluasa seperti kartel ayam mengambil kesempatan memanipulasikan pasaran dengan amalan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Selain itu, mungkin amalan-amalan tidak rasmi oleh pertubuhan-pertubuhan perdagangan perlu dikawal kerana bertentangan dengan prinsip persaingan. Mereka sering menetapkan harga minimum bagi barangan atau perkhidmatan dan menentang pemberian potongan harga untuk menjaga kebajikan ahli-ahli.

Polisi melawan inflasi sepatutnya merangkumi aspek-aspek memperbaiki etika dan praktis perniagaan serta merombak semula struktur pasaran dalam negeri dengan menggalakkan lagi persaingan. Jihad melawan inflasi akan berjaya jika amalan-amalan perniagaan ala kartel ini dapat dihapuskan. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya