SAUDARA PENGARANG,
HUBUNGAN bilateral China-Malaysia perlu terus diperkukuhkan kerana ia memberikan impak positif kepada kedua-dua negara.
Bagi Kuala Lumpur, jalinan ini menjadi tunjang kepada jaminan pulangan ekonomi yang terus mencorak orientasi hala tuju ekonomi negara yang sekian lama bergantung kepada modal, sokongan dan pasaran China.
Kebergantungan ini bakal menjadi duri dalam daging kepada keseimbangan kepentingan ekonomi dan keselamatan negara secara amnya.
Lawatan Menteri Luar China, Wang Yi baru-baru ini mencerminkan pertaruhan tinggi yang menjadi percaturan Beijing dalam memperkukuh cengkaman ke atas kepentingan rantau ini yang ditunjangi kebimbangan mengenai polisi dan orientasi yang bakal diambil Malaysia.
China sedar mengenai kekangan dan dilema dialami Malaysia yang sekian lama terikat dengan cabaran besar dalam memperluas skop dasar luar yang lebih bersifat konfrontasi terhadap China, disebabkan cengkaman dan kebergantungan ekonomi dan ancaman kapasiti perundingan yang lebih tinggi yang dimiliki China.
Status quo ini bakal menjadi sandaran Beijing yang akan terus memastikan ia kekal sebagai orientasi dan pilihan Malaysia.
Ini akan memberi ruang kepada Beijing untuk memperkukuh agendanya yang bebas daripada ancaman dan tentangan Malaysia yang tiada kapasiti ketenteraan dan ekonomi untuk mencabar dominasinya tanpa bantuan Barat.
Orientasi dasar luar Malaysia yang berpaksikan kepada pegangan bebas dan berkecuali, tanpa memihak kepada kuasa lain membentuk keunikan hala tuju yang tersendiri.
Dasar luar sedemikian dijangka akan kekal walaupun terdapat unjuran ramai bahawa China akan menggantikan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara ekonomi terbesar dan bakal menjadi saingan tertinggi kepada Uncle Sam dari segi kekukuhan daya saing dan kuasa ketenteraan.
Elit
Bagaimanapun, kekentalan daya tahan, daya saing serta parameter kuasa AS dan Barat dalam permainan jangka panjang menghadapi pengaruh China tidak seharusnya diketepikan walaupun terdapat percubaan Beijing menjadi kuasa dominan dunia menjelang 2049.
Perubahan dan kebangkitan mendadak China dalam keupayaan ketenteraan dan penguasaan ekonomi serta teknologi kritikal lain dilihat sebagai harapan besar terhadap negara lain yang mengalu-alukan alternatif kepada sistem Barat.
Namun, risiko dan ketidaktentuan peranan dan impak Beijing dan elit pemimpin Parti Komunis China pada masa depan masih menyelubungi realiti semasa dan memberikan kegusaran yang kian meningkat kepada Malaysia dan negara-negara lain, walaupun cuba ditutup oleh gambaran luaran positif yang diberikan.
Dalam segala perdebatan mengenai kebangkitan China dan bayangan kejatuhan AS sebagai kuasa besar dunia, Malaysia tidak seharusnya bertindak terburu-buru dengan menjadikan Beijing sebagai penyelamat utama masa depan.
Hubungan Malaysia dan AS dari segi ekonomi dan keselamatan perlu terus diperkasa dan diberi nafas baharu. Lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi dan rombongannya baru-baru ini ke Malaysia menjadi penanda aras baharu dalam memperkasa hubungan erat sedia ada dan menjadi simbol solidariti bersama dalam menghadapi tekanan Beijing.
Kedaulatan, keselamatan dan integriti wilayah negara kekal sebagai keutamaan tertinggi dalam percaturan kita untuk memastikan hak dan kepentingan negara serta rakyat akan sentiasa menjadi fokus utama dalam penggubalan dasar luar.
Malaysia harus meneruskan usaha secara konsisten untuk menjadi pelaku global yang bertanggungjawab, berintegriti dan teguh dalam memperjuangkan kesejahteraan kemanusian, keamanan, hak asasi dan keadilan sejagat. – UTUSAN
COLLINS CHONG YEW KEAT, Universiti Malaya (UM)