SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, pastinya pelajar akan berada dalam dilema untuk membuat keputusan besar demi masa depan yang menyenangkan hati semua pihak terutama ibu bapa dan keluarga. Sama ada menyambung pengajian atau bekerja membantu pendapatan keluarga.
Sebelum ini tular di media sosial tentang trend pelajar lepasan SPM berkira-kira untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi. Mereka berpendapat, kelulusan yang bakal diperoleh setelah tamat pengajian sama ada peringkat diploma mahupun ijazah sarjana muda tidak menjanjikan mereka untuk mendapat gaji lumayan. Mereka hanya akan dibelenggu pinjaman kewangan pendidikan yang tidak berpenghujung.
Pemikiran seperti ini menunjukkan ‘kemiskinan’ semangat sebelum mereka menjadi ‘kaya.’ Generasi zaman ini tidak dapat membezakan antara pengetahuan dan ilmu, gaji dan rezeki.
Walau apa pun jalan yang dipilih, pelajar perlu sedar bahawa mereka perlu mempersiapkan diri untuk menjadi pesaing hebat dalam dunia pekerjaan nanti. Mereka perlu melengkapkan diri dengan kemahiran abad ke-21. Kemahiran abad ke-21 juga merupakan kaedah menyeluruh bagi mengembangkan keupayaan individu untuk bersaing dalam masyarakat digital yang berubah dengan pesat dan cepat.
Terdapat empat elemen kemahiran utama yang ditekankan iaitu komunikasi, kreativiti, berfikiran kritikal dan kolaborasi. Namun, apa yang menyedihkan adalah keempat-empat kemahiran ini sedikit sebanyak diabaikan oleh generasi muda.
Mereka kurang merasakan kepentingan untuk membangunkan diri dengan ilmu berteraskan kemahiran-kemahiran tersebut. Mereka adalah masyarakat yang leka dalam dunia digital yang dilihat lebih menyeronokkan dan mampu memberikan kepuasan.
Ternyata semua pihak sama ada keluarga, rakan atau siapa sahaja perlu bersatu dan menggembleng usaha bagi memberikan kesedaran kepada generasi muda agar mereka sedar kepentingan menuntut ilmu.
Mereka adalah calon pemimpin pada masa hadapan yang perlu mendukung aspirasi pembangunan negara ke arah kegemilangan dan kecemerlangan.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD SHAH & MOHD RADZMAN BASINON
Negeri Sembilan