Kenakan tekanan ekonomi terhadap rejim Israel - Utusan Malaysia

Kenakan tekanan ekonomi terhadap rejim Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA awal bulan ini, serangan rejim Zionis Israel di Gaza menyebabkan 49 orang terbunuh, 52 menjadi anak yatim dan ratusan rakyat Palestin cedera serta berlaku banyak kemusnahan tempat tinggal.

Kekejaman demi kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia sejak penjajahan tentera Israel pada 1948 seolah-olah menampakkan rejim itu ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang antarabangsa.

Serangan 21 hari Israel ke atas Gaza pada hujung 2008 turut dilaporkan menggunakan senjata kimia, fosforus putih ke atas kawasan berpendudukan padat di Gaza.

Perlakuan kejam dan penganiayaan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin adalah bertentangan dengan konvensyen antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Gencatan senjata secara rasmi selepas tiga hari serangan rejim berkenaan yang bertujuan membendung berlakunya pertempuran terburuk di Gaza sejak terjadinya perang 11 hari yang meletus tahun lalu telah memusnahkan sebahagian wilayah pesisir pantai Palestin dilihat begitu rapuh sepertimana dinyatakan oleh Utusan Perdamaian PBB untuk Timur Tengah, Tor Wennesland.

Kecaman, kutukan dan demonstrasi pelbagai pertubuhan merangkumi parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi dan badan sosial, agama serta masyarakat seperti mencurah air ke daun keladi kepada rejim Zionis.

Protes masyarakat antarabangsa ini tidak pernah melunturkan keangkuhan dan ‘jiwa pengganas’ rejim berkenaan untuk kembali menghormati hak asasi manusia dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Sehingga kini, PBB yang diharap berperanan untuk menegakkan keadilan terus dipertikaikan selagi badan dunia itu dipengaruhi oleh telunjuk Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang secara terang-terangan memberi perlindungan kepada rejim Zionis. Jika PBB tidak bertindak, selagi itulah Israel bermaharajalela.

Jenayah

Tindakan dan kecaman masyarakat antarabangsa ini ibarat seekor anjing yang menyalak bukit. Rejim Zionis akan kekal dengan keangkuhannya. Tidak mustahil, apabila reda isu ini, mereka akan terus dengan keganasannya terhadap penduduk Palestin walaupun resolusi demi resolusi dibuat.

Cara paling berkesan adalah dengan memberi tekanan politik dan ekonomi terhadap Israel dan sekutu kuatnya AS. Walaupun PBB yang di bawah pengaruh AS berkemungkinan tidak akan merestui tindakan ini, tetapi usaha bersungguh-sungguh dan bersatu padu negara-negara yang menentang kekejaman Israel terutama anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mampu mengurangkan keangkuhan mereka.

Tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel perlu untuk memberi tekanan kepada negara itu supaya mematuhi undang-undang antarabangsa dan lebih berperikemanusiaan. Mungkin tindakan di bawah Statut Rom adalah langkah paling tepat terhadap Israel.

Statut Rom adalah satu triti rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Tindakan ini memerlukan sokongan sepenuhnya daripada semua negara dan masyarakat antarabangsa. Walaupun langkah ini dijangka tidak mendapat sokongan sekutu-sekutu rapat Israel terutama AS, tetapi sekurang-kurangnya desakan secara bersepadu dan berterusan perlu dibuat.

Dengan sokongan majoriti negara-negara yang menganggotai PBB dan OIC khususnya, langkah mengheret Israel ke ICC mampu direalisasikan walaupun mengambil tempoh lama. – UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ SAID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya