Kenaikan kos haji sukarkan penduduk Mekah beribadat - Utusan Malaysia

Kenaikan kos haji sukarkan penduduk Mekah beribadat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGALAMAN menunaikan haji tahun ini adalah yang paling manis, bermakna dan sukar dilupakan. Saya amat bersyukur kerana diberikan layanan terbaik oleh petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga pulang semula ke Malaysia.

Baru-baru ini, Tabung Haji mengumumkan kos haji meningkat kepada RM28,000 berbanding anggaran sebanyak RM25,000 sebelum musim haji 2022. Tabung Haji juga dilaporkan telah mengeluarkan perbelanjaan subsidi haji sebanyak RM185 juta pada musim haji tahun ini.

Saya akui kos untuk menunaikan ibadat haji di masa hadapan tidak akan murah lagi dan akan terus meningkat di masa hadapan disebabkan tekanan inflasi dan juga cukai tinggi di Arab Saudi.

Namun, syukur walaupun saya dan isteri hanya mampu membayar pakej muassasah dengan Tabung Haji tetapi layanan yang diterima adalah lebih baik daripada harga yang saya bayar sebanyak RM12,980.

Kos haji yang dibayar oleh seorang jemaah muassasah Malaysia adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan penduduk Mekah. Melalui perbualan saya dengan saudara-saudara Islam di sana, mereka perlu membayar sebanyak lebih SR9,000 riyal bersamaan RM10,674 (pakej terendah) untuk menunaikan ibadat haji bagi tempoh tujuh hari.

Penduduk tempatan perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dan sesiapa yang ditangkap menunaikan haji tanpa permit akan dikenakan denda sebanyak SR10,000 riyal.

Upah

Sebelum permit dikuatkuasakan, penduduk Mekah bebas menggunakan kenderaan persendirian mereka ke padang Arafah untuk berwukuf. Melihat senario ini, saya menjangkakan adalah amat sukar penduduk Mekah terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk menunaikan haji dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Kos haji yang terlalu tinggi menyukarkan kita mendapatkan perkhidmatan upah atau badal haji di masa hadapan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan tawaran badal haji di bawah RM3,000 kerana harga tersebut adalah mustahil disebabkan banyak kos perlu dibayar.

Para jemaah haji Malaysia seharusnya bersyukur kerana kos haji jauh lebih murah daripada penduduk Mekah. Jemaah haji rata-rata tinggal selama 45 hari dengan disediakan hotel, makan tengah hari, makan malam, pengangkutan dan khemah bertilam di Arafah dan Mina.

Saya nasihatkan semua bakal haji bersedia dengan kenaikan kos semasa menunaikan haji mahupun umrah. Kos makan sahaja telah naik hampir 30 peratuas berbanding tiga tahun lalu.

Alhamdulillah kita masih mendapat subsidi haji daripada Tabung Haji walaupun kos haji telah meningkat dan diberi secara bersasar bermula tahun ini.

Jadi marilah terus memberi sokongan kepada Tabung Haji dan berdoa agar mendapat pulangan yang lebih baik dalam aktiviti pelaburan supaya terus dapat membantu dari segi subsidi untuk jemaah haji Malaysia pada tahun-tahun akan datang, kerana subsidi bukan datang daripada kantung kerajaan Malaysia. – UTUSAN

ZAINOL ZAINUDDIN, Ampang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya