SAUDARA PENGARANG,
SEJAK kebelakangan ini rakyat berani mempersoalkan tindakan sebahagian kenderaan orang kenamaan atau konvoi bermotosikal yang diiringi anggota polis trafik atau marsyal yang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.
Saya juga sependapat dengan mereka, sepatutnya orang kenamaan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dengan mematuhi lampu isyarat.
Pengecualian hanya untuk kenderaan khas seperti ambulans, trak bomba atau kenderaan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang berhak diberikan laluan oleh orang awam melintasi lampu isyarat merah atau di persimpangan jalan.
Jadi, wajar keistimewaan yang diberikan kepada kenderaan orang kenamaan dikaji semula. Ini kerana orang awam mencontohi sikap polis pengiring atau marsyal yang melanggar peraturan jalan raya.
Cadangan ini bukan bermakna orang awam tidak langsung menghormati keistimewaan yang diberikan kepada golongan kenamaan tetapi apalah salahnya berhenti sekejap setiap kali lalu di lampu isyarat.
Langkah ini juga boleh menimbulkan kesedaran kepada orang awam untuk mematuhi peraturan jalan raya sekali gus jika ia boleh dijadikan budaya maka, dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.
Seiring dengan kemudahan teknologi pada hari ini sudah banyak kenderaan meletakkan kamera dashboard antara lain untuk kegunaan jika berlaku kemalangan.
Kelebihannya, kamera ini dapat dijadikan bahan bukti kenderaan orang kenamaan melanggar lampu isyarat merah. – UTUSAN
TOK WALI SONGE, Bayan Mutiara, Pulau Pinang