SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas laporan Utusan Malaysia pada 12 Ogos lalu bertajuk Nelayan gusar ikan pemangsa jejas pendapatan.
Ia mengenai kebanjiran ikan pemangsa termasuk baung ekor merah atau nama saintifiknya Phractos cephalus hemipterus yang semakin banyak berkeliaran dan membiak di Sungai Pahang hingga menjadi ancaman serius terhadap ekosistem sungai berkenaan.
Penemuan spesies ikan berkepala buaya atau alligator gar oleh nelayan sungai itu baru-baru ini turut menambah ancaman survival ikan asli Sungai Pahang seperti tamalian, patin juara dan jelawat.
Nelayan terbabit mengakui spesies ikan air tawar asli Sungai Pahang semakin sukar diperoleh sejak kebelakangan ini, dipercayai akibat kebanjiran ikan pemangsa terbabit.
Jika melihat kepada kewujudan spesies ikan asing itu sudah tentulah ia merupakan ancaman serius. Ini adalah ancaman bentuk baharu selain kegiatan menangkap ikan secara haram seperti menuba, mengebom dan sebagainya kepada ekosistem Sungai Pahang, mengancam keselamatan dan turut menjejaskan tangkapan nelayan sungai.
Apatah lagi spesies ikan pemangsa ini boleh mencapai berat lebih 20 kilogram dan memakan ikan tempatan dan lama-kelamaan boleh mengancam survival ikan asli Sungai Pahang yang perlukan masa dan persekitaran yang ideal untuk membiak dan meneruskan kelangsungan hidup.
Sebelum terlambat, Jabatan Perikanan perlulah bertindak segera agar spesies asli dapat dikawal daripada pupus oleh ikan pemangsa yang terlepas ke sungai.
Kompaun
Jabatan Perikanan boleh mengenakan kompaun dan mendakwa pesalah yang melepaskan ikan pemangsa walaupun tindakan ini sudah terlambat kerana ikan terbabit sudah berada dalam sungai dan kemungkinan telah membiak.
Selain itu, kedai menjual ikan hiasan perlulah dipantau untuk mengelak menjual ikan pemangsa sebagai ikan hiasan. Kuatkuasakan undang-undang dan dakwa premis pemilik ikan hiasan jikalau menjual ikan pemangsa kepada pembeli untuk dibela.
Selain mendakwa pihak terlibat, Jabatan Perikanan perlu menjalankan pemeliharaan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan spesies ikan pemangsa ini. Pilihlah beberapa batang sungai untuk mengenal pasti tahap keseriusan kehadiran ikan pemangsa dan ancaman terhadap ikan asli.
Kemudian jalankan langkah pengawalan dan pembiakan ikan yang dikenal pasti hampir hilang seperti dilakukan di Australia Selatan. Seterusnya, pencinta ikan hiasan kategori ikan pemangsa perlu bertanggungjawab dalam memelihara ikan ini.
Mereka harus tahu ikan ini mudah membesar, ganas dan perlukan makanan yang banyak dan bukan bertindak melepaskannya ke sungai apabila sudah tidak berminat membela lagi.
Di pihak nelayan sungai pula, janganlah bangga kerana dapat menangkap ikan pemangsa ini dan menjual pula dengan harga ribuan ringgit.
Dengan saiz gergasi seperti ikan baung ekor merah Asia dan gigi yang tajam dan tahan lasak seperti alligator gar merupakan ancaman baharu kepada nelayan sungai dan juga ancaman kehidupan akuatik terutama di Sungai Pahang.
Tidak menghairankan dalam beberapa tahun akan datang, kita tidak lagi dapat melihat 282 spesies ikan asli yang hidup di perairan negara dan menikmati rasa lazat ikan asli sungai kita jikalau masyarakat terus kagum dan terpesona dengan ikan luar khususnya ikan pemangsa ini. – UTUSAN
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang