Jangan berpesta hingga lupa daratan - Utusan Malaysia

Jangan berpesta hingga lupa daratan

PENDUDUK Perlis tidak seharusnya lalai untuk memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SYUKUR kerana sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kes Covid-19 di Perlis kekal berada di antara negeri terendah di negara ini.

Bukan sahaja Perlis mampu mengekalkan kedudukan antara negeri paling kurang kes, malah pernah beberapa ketika mencatat sifar kes.

Namun, ini tidak bermakna rakyat Perlis boleh berpuas hati dengan kes-kes yang dicatatkan itu kerana berdasarkan pengalaman, jangkitan penyakit berjangkit boleh bertambah pada bila-bila masa. Kes akan mudah berlaku jika rakyat lalai menjaga kawalan ke atas diri dan keluarga mereka.

Kelonggaran yang diberi kepada rakyat memasuki premis-premis jualan makanan misalnya, bukan bermakna mereka boleh berpesta makan minum hingga lupa daratan.

Mereka tidak seharusnya lalai untuk memakai pelitup muka dan perlu terus menjarakkan sedikit kerusi tempat duduk. Begitu juga kunjungan mereka ke pasar raya, jangan terlalu berhimpit terutama semasa berbaris di kaunter pembayaran.

Sementara itu, jemaah masjid juga hendaklah mematuhi peraturan yang pernah diperkenalkan semasa berada di rumah ibadat itu. Setiap umat Islam di negeri ini harus bersyukur kerana mereka diberi kelonggaran datang ke masjid tanpa perlu membawa sejadah dan sembahyang pula boleh merapatkan saf.

Sama seperti kunjungan ke premis-premis lain, pemakaian pelitup muka di masjid harus tetap menjadi keutamaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap jemaah yang hadir di masjid melaksanakan segala yang perlu untuk menjaga keselamatan diri khusus pada aspek kesihatan.

Mereka tidak seharusnya menunggu teguran pegawai masjid untuk memakai pelitup muka apabila masuk ke dalam tempat ibadat itu lebih-lebih lagi semasa solat Jumaat. Saya rasa seeloknya setiap kali keluar berurusan di luar rumah, apabila pulang, wajar mandi dan bersihkan diri sebelum menukar pakaian.

Sama-samalah kita bertanggungjawab untuk memastikan Perlis kekal berada dalam kumpulan negeri paling rendah kes Covid 19. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya