Insurans perjalanan bukan perkara remeh - Utusan Malaysia

Insurans perjalanan bukan perkara remeh

JIKA memiliki insurans perjalanan ke luar negara, kita layak mendapat pampasan sekiranya berlaku kelewatan dalam jadual penerbangan. – GAMBAR HIASAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELAIN jadual perjalanan, lokasi ingin dilawati dan penginapan, ada perkara penting yang perlu kita pertimbangkan sebelum melancong ke luar negara iaitu insurans perjalanan.

Meskipun nampak remeh, kebanyakan percutian yang dirancang tidak selalunya berjalan lancar. Ada kemungkinan berlaku situasi luar kawalan.

Oleh itu, kita perlu tahu kepentingan insurans perjalanan yang menawarkan pampasan kewangan sekiranya berlaku peristiwa tidak dijangka.

Antaranya, pertama, penerbangan tertunda. Kebanyakan kita mungkin pernah berdepan situasi sebegini semasa bercuti.

Jika memiliki insurans perjalanan ke luar negara, kita layak mendapat pampasan sekiranya berlaku kelewatan dalam jadual penerbangan disebabkan masalah tertentu seperti isu mekanikal dan faktor cuaca.

Meskipun jumlah pampasan diterima tidak setimpal dengan masa terbuang, ia sekurang-kurangnya dapat menampung kos perbelanjaan tambahan yang digunakan unPtuk membeli makanan, buku dan sebagainya semasa dalam tempoh menunggu.

Kedua, bagasi hilang atau lewat sampai ke destinasi. Proses menunggu bagasi selepas perjalanan jauh yang memakan masa lama boleh memenatkan.

Walaupun secara asasnya boleh membuat tuntutan ganti rugi bagasi hilang atau lewat sampai daripada syarikat penerbangan, ini tidak bermaksud kita tidak perlu membeli insurans perjalanan.

Ini kerana proses tuntutan daripada syarikat penerbangan biasanya memakan masa yang lama dan tidak semudah proses tuntutan dengan syarikat insurans.

Ketiga, situasi kecemasan seperti kemalangan jalan raya dan jatuh sakit secara tiba-tiba semasa melancong. Perbelanjaan berkaitan perubatan di luar negara selalunya lebih tinggi berbanding dalam negara.

HOSPITAL

Dengan memiliki insurans perjalanan, ia sedikit sebanyak boleh menampung sebarang kos rawatan di luar negara seperti konsultasi, yuran bilik, caj diagnostik dan sebarang perbelanjaan lain yang timbul akibat kemasukan ke hospital.

Selain itu, sekiranya kita ditakdirkan meninggal dunia ketika berada di luar negara, pelan perlindungan insurans perjalanan membolehkan ahli keluarga membuat tuntutan khairat kematian dengan mudah tanpa proses yang rumit.

Dalam pada itu, ada pihak berpendapat tidak perlu membeli insurans perjalanan sebelum melancong ke luar negara sekiranya sudah memiliki insurans perubatan atau kad perubatan peribadi.

Sebenarnya insurans perubatan dan insurans perjalanan adalah dua perkara berbeza. Walaupun insurans perubatan melindungi beberapa aspek seperti tuntutan khairat kematian, kecederaan dan sebagainya, ia tidak merangkumi beberapa aspek lain. Antaranya risiko kehilangan bagasi, penerbangan terbatal atau berlaku kemalangan di tempat melancong.

Dalam erti kata lain, insurans perubatan hanya melindungi kita sekiranya berlaku kecemasan kesihatan di dalam negara.

Insurans perjalanan pula bertindak sebagai perlindungan tambahan sekiranya berlaku sebarang risiko seperti kemalangan atau kecederaan sepanjang berada di luar negara yang memerlukan rawatan di hospital.

Keempat, kehilangan dokumen penting, duit dan pasport. Dengan memiliki insurans perjalanan, kesusahan akibat situasi sebegini boleh diminimumkan.

Bagi kes kehilangan pasport, kos-kos seperti pengangkutan ke pejabat kedutaan, panggilan telefon ke negara asal, pencetakan sebarang dokumen penting termasuk penginapan sepanjang proses mendapatkan permit sementara sehingga selesai akan ditanggung oleh syarikat insurans. – UTUSAN

JEREMY J, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya