SAUDARA PENGARANG
PERKATAAN rasuah berasal daripada bahasa Arab berbunyi al-risywah. Takrifannya adalah memberi sesuatu itu sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, perkhidmatan, janji manis dan sebagainya.
Ia diberikan kepada orang yang tidak layak menerimanya. Mungkin orang diberi rasuah itu telah mendapat gaji dan upah tertentu, lebih kaya dan berjawatan dan bukan keluarga si pemberi.
Pemberian dengan niat agar suatu masa mendapat balasan lebih besar daripada orang tertentu tadi. Sedangkan pada hakikat orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.
Seingat saya, sudah lama Keluarga Malaysia diingatkan dengan bahaya amalan rasuah. Sudah banyak kempen alam maya dibuat.
Ingat tak kisah jerung dan ikan bilis? Kalau ada pilihan bagi mengurangkan spesies antara kedua-duanya, apa yang akan anda lakukan? Adakah anda akan mengebom kedua-duanya, habis cerita?
Inilah sebenarnya perumpamaan golongan yang mengambil rasuah. Golongan jerung ini susah sikit nak ditangkap. Dia punya mengelupur boleh tenggelam bot penangkap ikan. Akan tetapi ikan bilis mudah ditangkap, tak mengelupur pun. Tak kira jerung atau ikan bilis, salah tetap salah.
Sekarang ini menurut perhatian saya sebagai pegawai badan berkanun, pelajar sekolah harus difahamkan apa itu rasuah dan kesannya pada negara.
Ikut sejarah, runtuh Kota Melaka kerana rasuah, runtuhnya sistem pemerintahan khalifah Uthmaniyah di Istanbul pada 1924 kerana rasuah. Akhir zaman jangan tak tahu, dajal sebenar pun akan tawarkan rasuah bagi orang yang ingin menjadi pengikutnya.
Akhir sekali, jika tiada penawaran, masakan ada pembeli. Inilah sebenarnya, realiti atau fantasi. Banyak kes orang yang menerima rasuah ditangkap. Kes orang yang menawarkan rasuah ditangkap kadang-kadang atau jarang-jarang. Sepatutnya seimbangkan.
Kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan tidak lama lagi. Jadikan merdeka diri daripada rasuah prinsip paling utama. Bebas rasuah, bebas dadah, bebas dedah. Salam Bahtera Merdeka. – UTUSAN
IBNU ARASY, Kepala Batas, Pulau Pinang