SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya membaca satu berita mengenai pemenang pingat emas wanita pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 menerusi Kategori Solo Kreatif Wanita yang tampil bertudung di gelanggang berjaya menarik perhatian dan menjadi perbualan ramai.
Merrywati Manuil berasal dari Sabah yang berketurunan Murut serta beragama Kristian itu mendedahkan bahawa dia menghargai pemakaian tudung sebagai pakaian wanita Melayu selain menghargai sukan silat yang diminati berasal dari seni milik kaum itu biarpun tidak diwajibkan berbuat demikian.
Ringkasnya, saya sebagai orang Melayu beragama Islam berasa sungguh bangga dan terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Merrywati.
Amat wajar kita sebagai orang Melayu menghargai sikap murni Merrywati dan tidak membiarkan sesuatu yang luar biasa seperti ini berlalu begitu sahaja.
Jadi, mengapa tidak badan-badan berkaitan Melayu menghargai sikap Merrywati dengan memberi sagu hati atau sumbangan kewangan yang bersumberkan wang rakyat bukan Islam.
Lembaga Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) mungkin boleh menyumbang sebagai penghargaan dalam bentuk wang ringgit bagi menghargai semangat dan nilai murni yang ditunjukkan Merrywati.
Dalam masa sama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga wajar memberi ruang kepada Merrywati dengan membuat tawaran belajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) berkenaan.
Akhir sekali, saya berharap pandangan ini sebagai cara untuk mempamerkan keindahan Melayu/Islam itu sendiri. Sedangkan Merrywati yang bukan beragama Islam pun tahu menghargai Melayu/Islam, apatah lagi jika membabitkan kaum Melayu. – UTUSAN
PAK MAT, Telok Panglima Garang, Selangor