SAUDARA PENGARANG,
TAHUN ini merupakan kali ke-65 kita menyambut kemerdekaaan. Tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bertepatan dengan aspirasi kerajaan bahawa seluruh rakyat Malaysia prihatin dan teguh bersama membina negara bangsa yang berdaulat.
Sambutan kemerdekaan adalah saat terbaik untuk merenung dan merayakan sumbangan guru dalam sejarah bangsa Malaysia. Di tangan para guru ini lahir angkatan anak muda yang merupakan teras kepada kebangkitan nasionalisme, namun fakta ini jarang sekali diangkat.
Sejarah kemerdekaan tidak dilatari dengan perjuangan tokoh politik semata-mata, tetapi para guru khususnya guru Melayu untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Lahirnya Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS), Persatuan Guru Melayu Perak, Persatuan Guru Melayu Pulau Pinang, Persatuan Guru Melayu Kedah adalah benteng mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dan kumpulan pendesak kepada gerakan penjajah dan elit Melayu keinggerisan.
Kewujudan Sultan Idris Training College (SITC) sebagai institusi yang melatih bakal guru telah menjadi markas kebangkitan semangat nasionalisme.
Nama-nama seperti Mohamad Nor Ahmad, Muhammad Darus Abdul Rahman, Saleh Ibrahim, Othman, Che Tom adalah pejuang tegar yang menyuarakan isu-isu bahasa, nasib guru Melayu dan pendidikan anak-anak Melayu.
Sebuah lagi institusi yang menyumbang kepada gerakan kesedaran khususnya dalam kalangan anak muda ialah Maahad Il- Ehya Assyarif Gunung Semanggul (Miagus) yang memiliki tingkat kesedaran politik yang tinggi.
Sesungguhnya SITC dan Miagus telah menjadi almameter gerakan kebangkitan menentang penjajahan British. Gerakan perjuangan guru-guru Melayu dan tokoh ulama yang mendidik generasi muda ketika itu telah melahirkan pejuang tulen kemerdekaan.
Hari ini kita perlu mengenang jasa para guru dan para ulama dalam perjuangan kemerdekaan. Mereka telah berjaya membina generasi kalis penjajahan sehingga benteng akidah dan identiti watan terjaga dan terpelihara.
Kini, kita berdepan ancaman baharu pasca Covid-19 iaitu era digitalisasi pendidikan dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), warga guru perlu berani mempelajari dan mencipta kaedah pengajaran dan pembelajaran demi membebaskan generasi dari keciciran pendidikan.
Justeru, guru perlu bersatu hati dan teguh bersama dalam semangat keluarga Malaysia membina bangsa yang kuat, maju dan berdaulat melalui kreativiti, inovasi dan islah pendidikan.
Jalur Gemilang berkibar megah,
Simbol perpaduan seluruh negara,
Malaysia bebas dari dijajah,
Semoga negara aman sentiasa.
Pelbagai bangsa pelbagai budaya,
Perpaduan rakyat teras utama,
Rakyat bersatu negara berjaya,
Keluarga Malaysia aman sejahtera.-UTUSAN
MOHD AZIZEE HASAN
Presiden i-Guru