Elak penjaga dera anak-anak kecil - Utusan Malaysia

Elak penjaga dera anak-anak kecil

TALIAN Kasih 15999 adalah tidak memadai bagi membanteras kes penderaan di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK akhir-akhir ini, kes mendera anak-anak kecil semakin meningkat. Terkini, seorang wanita warga tempatan yang menjadi pengasuh ditahan polis kerana disyaki mendera dan menyebabkan kematian anak saudara lelakinya berusia tiga tahun di sebuah pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur.

Saya selaku seorang bapa amat tersentuh dengan apa yang berlaku. Sudah tiba masanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil pendekatan baharu yang sesuai dengan keadaan semasa termasuk menambah baik garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi taska dan individu yang menjadi pengasuh.

Tidak cukup sekadar memperkenalkan Talian Kasih 15999, kementerian perlu merangka strategi lebih efektif bagi memperjuang hak kanak-kanak untuk hidup lebih aman dan selamat.

Saya membayangkan si kecil yang tidak berkeupayaan untuk mendapatkan bantuan, bagaikan bertempur di medan perang di dunia nyata sepertimana di Syria sehingga akhirnya mangsa trauma dan lebih sadis, meninggal dunia.

Kita tidak dapat bayangkan kerugian dari segi pulangan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh negara ini ekoran kehilangan nyawa si kecil.

Saya berharap badan penguat kuasa lain selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang begitu proaktif menangani kes-kes terpencil melibatkan penderaan tampil membantu.

Antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Rukun Tetangga, ketua kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hospital, wakil rakyat dan senator turut sama berganding bahu merangka strategi bersama sepertimana Strategi Lautan Biru bagi mengekang kes penderaan secara habis-habisan.

Anggota masyakat dalam komuniti yang kecil termasuk jiran tetangga dan guru harus melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima bukti terdapat kes-kes mencurigakan seperti melihat kesan-kesan parut lama pada badan mangsa.

Malaysia sepatutnya menjadi negara selamat untuk diduduki kepada semua lapisan masyarakat daripada bayi sehingga warga emas. – UTUSAN

NAZRI CHAN ABDULLAH, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya