Bimbang MBI berhutang sampai RM14.5 bilion - Utusan Malaysia

Bimbang MBI berhutang sampai RM14.5 bilion

PROJEK LRT di bandar raya Ipoh mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERDASARKAN Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sebanyak 28 stesen transit aliran ringan (LRT) dicadang dibangunkan melibatkan dua laluan dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer (km).

Laluan pertama, Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah meliputi jarak 30 km manakala laluan kedua, Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai pula sejauh 28 km dengan kekerapan perkhidmatan selama enam minit.

Kami membantah pelan pembinaan LRT yang dinyatakan dalam muka surat 247 hingga 258 draf berkenaan kerana pertama, kami risau kos pembinaan LRT adalah terlalu tinggi.

Kami difahamkan anggaran kos pada masa ini adalah RM250 juta satu km. Ini bererti kos membina sistem LRT akan menelan belanja sebanyak RM14.5 bilion jika tiada kos melebihi jangka yang sering berlaku dalam projek mega.

Adakah kos pengambilan tanah untuk melaksanakan projek LRT diambil kira dalam anggaran kos keseluruhan pembinaan? Pendapatan MBI adalah kira-kira RM250 juta setahun sahaja dan perbelanjaan pihak berkuasa tempatan itu (PBT) biasanya berjumlah lebih 90 peratus daripada pendapatan.

Apakah rancangan kewangan MBI dan kerajaan negeri untuk membayar balik hutang sebanyak RM14.5 bilion? Kadar faedah untuk hutang sebesar ini adalah RM435 juta setahun (jika kadar faedah tiga peratus setahun).

Adakah MBI berjaya mendapat pinjaman sifar kadar faedah? Ataupun adakah MBI mengharapkan kutipan daripada pengguna LRT akan menampung kos perbelanjaan modal?

Adakah Kerajaan Persekutuan berjanji untuk membantu membayar hutang ini? Jika jawapannya tidak, kami takut rakyat akan dibebani dengan sejumlah hutang yang besar.

BMT

Kedua, proses pembinaan akan mengambil masa yang lama, mungkin lebih dari 10 tahun. Penduduk Ipoh memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisien dengan segera dan projek LRT ini akan mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan. Lagipun, laluannya agak terhad dan hanya tertumpu di bandar raya Ipoh.

Ketiga, kami berpendapat sistem transit bas massa (BMT) patut dijadikan sistem pengangkutan awam utama di bandar raya Ipoh. Ini kerana kos BMT jauh lebih efektif kerana boleh menggunakan jalan raya sedia ada.

Sistem BMT boleh disiapkan dengan lebih cepat dan jauh lebih murah berbanding LRT. Kos 100 bas elektrik dianggar berjumlah RM60 juta.

Jika dicampur kos depot-depot untuk mencaj bas dan kos membina perhentian-perhentian bas yang sesuai di tepi jalan raya, jumlah kos melaksanakn BMT di Ipoh adalah kira-kira RM100 juta sahaja.

Kami ingin tahu sama ada MBI atau kerajaan negeri pernah menjalankan satu kajian terhadap sistem BMT dan membandingkannya dengan sistem LRT? Jika ya, bolehkah pihak terbabit mendedahkan hasil kajian untuk penelitian orang ramai.

Projek LRT ini akan membebankan MBI dengan satu jumlah hutang yang amat besar iaitu 60 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan tahunan PBT itu.

Ada kemungkinan besar hutang besar ini akan menjejaskan fungsi-fungsi MBI yang lain. Oleh itu, kami berharap MBI menangguhkan projek LRT sehingga isu-isu yang dibangkitkan ini dapat diselesaikan dengan memuaskan hati semua pihak terlibat. – UTUSAN

PENDUDUK-PENDUDUK IPOH, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya