SAUDARA PENGARANG,
DUNIA hari ini bergerak begitu pantas. Natijahnya, ramai dalam kalangan kita terutama para belia yang mahukan segalanya serba pantas dan segera. Mereka tidak mahu menunggu lama untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.
Maka, tidak hairanlah jika 70 peratus daripada mereka memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke menara gading seperti dilaporkan media baru-baru ini kerana ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk menuai hasil usaha mereka.
Contohnya, sebahagian daripada mereka mahukan perhatian dan populariti dengan segera, yang boleh diperoleh tanpa melanjutkan pelajaran. Maka, mereka pun memenuhkan media sosial dengan hal-hal yang mereka panggil sebagai kandungan, yang kadangkala hanya menonjolkan aib dan menjatuhkan maruah mereka sendiri.
Yang penting, ia menjadi tular dan bolehlah mereka menjadi seorang pempengaruh sambil berangan-angan tentang berapa banyak wang yang boleh dapat menerusi hal ini.
Adakah mereka sedar bahawa ketularan di media sosial ini hanyalah sementara? Apa yang akan dilakukan setelah saat tular tamat dan mereka diganti dengan pempengaruh lain yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan?
Ada sebilangan pula yang mahu terus bekerja setelah tamat sekolah menengah. Kata mereka, tidak perlulah untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka juga boleh mendapatkan gaji dengan segera dengan nilai yang sama atau lebih banyak daripada pelajar yang mengejar segulung ijazah.
Maka, mereka pun memilih untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig, sebagai contoh. Benar, tidak ada yang salah dengan hal ini, malah ada dalam kalangan yang bekerja di sektor ini begitu bangga berkongsi jumlah bayaran mereka dapat setiap bulan.
Lumayan
Bagaimanapun, pekerjaan seperti ini tidak menjamin kelangsungan masa depan atau perkembangan karier mereka, lebih-lebih lagi dengan persekitaran kerja yang berisiko serta waktu kerja tidak menentu.
Ini hanya contoh golongan belia yang cepat berpuas hati dengan apa yang tiba di hadapan mereka dahulu serta apa yang boleh dapat segera.
Mereka begitu mudah terpukau saat dipertontonkan dengan imbuhan segera yang dianggap sebagai lumayan serta kemasyhuran sementara tanpa memikirkan tentang masa depan yang masih jauh. Tidakkah mereka sedar bahawa apa yang datang dengan segera, bakal berlalu pergi dengan segera juga?
Sebenarnya golongan belia perlulah sedar bahawa mereka berhak dan boleh mendapatkan hal-hal yang lebih baik di dalam kehidupan dengan melalui jalan yang sedikit panjang dan mencabar.
Tiada hasil yang mengkhianati usaha, dan tidak ada salahnya menempuh laluan sebegini asalkan hasilnya lebih terjamin dan berkekalan. Bak kata pepatah Melayu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Justeru, usaha-usaha perlu digerakkan agar para belia di negara ini selalu berazam untuk mendapatkan hal-hal yang lebih baik dan bukan hanya sesuatu yang bersifat segera dan sementara.
Yakinkanlah mereka bahawa ganjaran dan kepuasan hidup tidak harus selalu berkisar mengenai wang ringgit semata-mata.
Bantu mereka juga untuk percaya bahawa menginginkan sesuatu yang lebih baik di dalam kehidupan bukan bermakna tamak atau tidak bersyukur, sebaliknya hanya bertujuan memanfaatkan potensi diri yang sebenar. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak