Atasi stres dalam kalangan mahasiswa - Utusan Malaysia

Atasi stres dalam kalangan mahasiswa

Ramai pelajar cemerlang kecewa apabila permohonan mereka ke universiti awam gagal. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISTILAH stres kini tidak lagi asing kepada warganet era zaman ini. Malangnya, aksi ‘si pemangsa’ stres untuk terus-menerus membelenggu pelajar universiti seolah-olah menjadi suatu norma yang dipandang enteng.

Menurut tokoh-tokoh teori stres tersohor iaitu Lazarus dan Folkman, manifestasi stres bermula apabila individu mempunyai persepsi dirinya tidak mampu memenuhi keperluan kendiri melebihi sumber sedia ada.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, Malaysia mencatatkan peningkatan kemelut kesihatan mental pada tahap menggusarkan iaitu 10.7 peratus pada 1996, kepada 11.2 peratus (2006) dan 29.2 peratus (2015).

Peratusan pelajar universiti yang mengalami stres (sederhana hingga teruk) berada dalam julat 12.9 hingga 21.6 peratus.

Baru-baru ini, beberapa universiti penyelidikan terkemuka negara mencapai kadar stres pelajar sebanyak 37.7 peratus pada 2018 dan 42.2 peratus pada 2020. Angka ini bukan hiasan tetapi sebagai peringatan mengenai masalah kesihatan mental yang kian meruncing.

Lazimnya, pelajar universiti berpendapat stres yang dialami berakar umbi daripada faktor untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik termasuk merangkul gred baik dalam peperiksaan. Faktor bukan akademik pula termasuk bimbang memikirkan kebarangkalian akan menganggur atau kecundang dalam membuat pilihan kerjaya tepat.

Stres pada tahap minimum berupaya menjadi sumber motivasi tetapi apabila mencapai ambang kritikal dan secara berterusan untuk tempoh panjang akan menatijahkan kebimbangan, depresi dan disfungsi sosial. Antara implikasi stres termasuk kecenderungan cubaan membunuh diri dan masalah hubungan keluarga.

Justeru, sudah sampai masanya semua pihak memainkan peranan untuk mengurangkan tahap stres melampau. Kemelut ini akan dapat ditangani bukan melalui kaedah tradisional sahaja tetapi dengan cara lebih mesra pelajar dan kreatif. – UTUSAN

DUSHA NANTHAKUMAR, Graduan psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya