SAUDARA PENGARANG,
ORANG Melayu secara umumnya dikenali sebagai satu bangsa yang sopan, ramah dan pemurah. Tidak terlalu ganas dalam tindakan tetapi tidak juga terlalu mengalah, malah akan bertindak balas jika terancam.
Kerana itulah ilmu pertahanan diri orang Melayu adalah silat, tarian bunganya lembut tapi buah pukulnya boleh membawa maut.
Inilah yang dialami oleh pemerintah Inggeris pada masa penubuhan Malayan Union dahulu. Orang Melayu yang dianggap mudah menurut kata tetapi tiba-tiba bangun bersatu dan menentang Malayan Union kerana berasa terancam bahawa kuasa mereka akan menghilang.
Sepertimana sejarah mencatatkan, penentangan tersebut tidak melibatkan keganasan ataupun pertumpahan darah. Kini Malaysia diancam dengan pelbagai skandal rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa. Setiap hari kita melihat berita berkaitan rasuah.
Orang Melayu juga semakin hilang hak pemilikan tanah apabila ia bertukar tangan secara sistematik atas pelbagai alasan, semuanya akibat amalan rasuah.
Kini orang Melayu bangkit sekali lagi melalui Gerakan Tanah Air (GTA), di mana melalui gerakan ini mereka dapat menyuarakan dengan lebih lantang lagi pandangan untuk kebaikan rakyat dan negara.
Mereka turut berpeluang terlibat secara langsung untuk melaksanakan pelbagai polisi yang dapat memperbaiki segala kelemahan demi rakyat dan negara.
Mungkin sejarah akan berulang apabila pemimpin-pemimpin Melayu yang bergerak aktif di bawah persatuan-persatuan, beramai-ramai bangun menggerakkan satu gelombang.
Gelombang yang sememangnya mewakili suara rakyat dan orang Melayu yang sebenar. Bangun menentang korupsi dan kebatilan yang telah merugikan orang Melayu. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)