Sewa kuarters guru terbiar kepada B40 - Utusan Malaysia

Sewa kuarters guru terbiar kepada B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada 23 Julai lalu dengan tajuk 16,364 kuarters guru terbiar. Menurut berita terbabit, kuarters guru sebanyak itu yang bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara terus terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jenayah.

Mengikut laporan Kementerian Pendidikan (KPM) tahun 2019, lebih 16,000 unit masih kosong daripada jumlah keseluruhan 50,257 kuarters guru yang dibina.

Daripada jumlah yang kosong pula hanya 6,302 unit dalam keadaan baik dan boleh diduduki manakala bakinya 10,062 unit lagi rosak dan tidak boleh didiami.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula berpendapat kerajaan mampu berjimat hingga RM4.9 juta sebulan atau RM58.9 juta setahun jika 16,364 unit kuarters guru terbiar di seluruh negara didiami warga pendidik baharu.

Sebenarnya, kisah mengenai kuarters guru terbiar ini bukanlah cerita baharu kerana pernah disiarkan melalui akhbar-akhbar beberapa tahun lepas.

Nampaknya cerita kuarters yang tidak berpenghuni dan terbiar ini dilihat tidak mendapat perhatian pihak kerajaan. Timbul persoalan mengapa pihak berkenaan khususnya KPM tidak cuba melakukan sesuatu agar kuarters guru ini boleh digunakan dan dihuni oleh pihak yang memerlukan tempat berteduh lebih-lebih lagi dalam suasana harga rumah yang mampu dilihat sahaja sekarang ini.

Tidak adakah cadangan dan idea agar kuarters ini dibaik pulih, diselenggarakan atau dibuat pengubahsuaian agar dapat memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan yang memerlukan tempat kediaman?

B40

Berdasarkan harga biasa seunit kuarters sekitar RM50,000 sebuah, kerajaan boleh meminda undang-undang agar kuarters ini boleh dijual atau disewakan kepada pihak yang tidak mampu seperti golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga yang tidak memiliki rumah.

Kita tidak mahu bangunan kerajaan ini terus mereput, dipenuhi semak samun, menjadi sarang kegiatan tidak bermoral tanpa ada usaha memberikan manfaat kepada rakyat khususnya golongan yang memerlukan rumah.

Jika tiada usaha yang dilakukan, kita hanya mampu melihat tempat yang asalnya untuk kediaman guru ini bertukar menjadi kawasan anak muda menjalankan kegiatan tidak bermoral atau terbiar dengan pemandangan menyeramkan dengan semak samun serta menjadi tempat pembiakan haiwan liar dan nyamuk.

Selain itu, KPM perlu mengenal pasti punca guru tidak mahu menghuni kuarters. Melalui pengalaman kawan yang pernah menghuni kuarters ini, mereka mengatakan air tandas dari tingkat atas menitis dan melalui celahan dinding ke bilik bawah akibat dinding bangunan yang renggang kerana kebanyakan kuarters guru ini dibina melalui kaedah pasang siap.

Seterusnya, kekurangan dan ketiadaan penghuni menyebabkan keadaan kuarters sunyi dan menimbulkan keadaan menakutkan dan akhirnya penghuni mengambil keputusan mencari tempat kediaman lain.

Diharapkan, jika diselenggarakan dengan betul, kebersihan dijaga, keadaan yang meriah dan tidak menyeramkan, bukan guru sahaja yang boleh tinggal tetapi dapat menarik mereka yang memerlukan tempat kediaman untuk tinggal. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya