SAUDARA PENGARANG,
SUATU ketika dahulu tiada masalah bagi masyarakat di negara ini menonton pelbagai rancangan televisyen walaupun hanya menggunakan televisyen analog. Liputan rancangan masih meluas walaupun di kawasan pedalaman atau berdekatan bukit.
Pengguna ketika itu hanya perlu meninggikan sedikit antena bagi mendapatkan siaran yang jelas.
Namun, sejak peralihan era dan penggunaan televisyen digital, lain pula jadinya. Sepatutnya dengan perkembangan teknologi pastilah diharapkan capaian siaran televisyen jauh lebih baik tetapi berlaku sebaliknya. Walaupun menggunakan decoder, namun masih tidak dapat menerima siaran televisyen.
Justeru, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyiasat punca penduduk terutama di Semenaniung yang masih tidak menerima siaran televisyen digital dengan membuka talian khas bagi membolehkan orang ramai membuat aduan tentang masalah yang dihadapi mereka.
Saya sendiri mengalami nasib yang sama. Saya tinggal di bandar Seremban berdekatan kawasan bukit dan amat mengecewakan sehingga hari ini masih tidak dapat menerima siaran televisyen digital walaupun sudah menggunakan decoder. Sebelum ini tiada masalah ketika menggunakan televisyen analog.
Lebih mengecewakan, banyak kawasan di luar bandar yang berdekatan kawasan bukit tidak menerima siaran televisyen digital.
Saya berharap pihak berwajib dapat menyiasat punca sebenar masalah agar penduduk di kawasan ini dapat menikmati hak sebagai pengguna. – UTUSAN
CH SYAM
Panchor Jaya, Seremban