Saranan untuk kukuh nilai ringgit - Utusan Malaysia

Saranan untuk kukuh nilai ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada 18 Julai lalu bertajuk Dasar ‘tunggang terbalik’ lemahkan rin­ggit yang memetik nasihat Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau menyarankan kerajaan memperkenalkan dasar ‘meyakinkan’ dalam menentukan hala tuju negara kerana ia mempengaruhi nilai ringgit berbanding mata wang asing.

Mohd. Afzanizam menambah, pelaksanaan dasar-dasar seperti pengambilan dan penggajian buruh asing serta pemberian subsidi perlu lebih jelas kerana tadbir urus yang baik akan menjadikan nilai ringgit mengukuh.

Nasihat itu diberikan ketika ringgit terus lemah apabila melepasi 4.4500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang sebelumnya pada 4.4490 daripada 4.4440.

Terdapat juga cadangan pakar ekonomi supaya kerajaan mempergiat eksport barangan domestik terutama produk-produk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan nilai ringgit kekal tinggi.

Kejatuhan nilai ringgit ke paras lebih rendah akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat apabila terpaksa membayar mahal untuk setiap barangan import seperti alat ganti kenderaan dan ubat-ubatan sekali gus mencetuskan kesan susulan berangkai.

Bagi saya, fenomena kejatuhan nilai ringgit ini telah menjadi isu jangka panjang kerana kesannya yang signifikan kepada inflasi dan bil import.

Kejatuhan nilai ringgit ini tidaklah menjadi isu jika ia bergerak mengikut asas-asas ekonomi (bukannya sentimen) dan harga-harga pula bersifat fleksibel.

Saya bersetuju dengan Mohd. Afzanizam agar dasar kerajaan ‘tidak tunggang terbalik’ kerana polisi seperti itu akan melemahkan ringgit.

Dasar sebegini tidak mempunyai kredibiliti dan tidak menunjukkan hala tuju negara serta menyebabkan rakyat tidak berasa yakin ditadbir oleh kerajaan yang stabil. Polisi sedemikian juga tidak memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur.

Kukuh

Saya juga bersetuju dengan satu pandangan lain bahawa kelemahan ringgit ini memberi kesan buruk kepada bil import seperti ubat-ubatan ketika kerajaan terus memberikan insentif untuk memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi.

Kesan kejatuhan nilai ringgit ini lebih buruk lagi bila mengingatkan fakta bahawa harga barangan import tidak akan turun bila nilai ringgit kembali kukuh.

Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan cadangan pakar ekonomi supaya dipergiatkan eksport produk PKS bagi meningkatkan nilai ringgit.

Ini kerana kenaikan nilai ringgit bergantung besar kepada jumlah aliran masuk wang jangka pendek dalam pasaran ekuiti. Pada masa ini, lebihan dalam akaun perdagangan tidak lagi mempengaruhi nilai ringgit secara signi­fikan.

Saya bersetuju dengan Mohd. Afzanizam supaya kerajaan dapat menonjol dan mengekalkan prestasi ekonomi yang baik untuk menggalakkan jumlah aliran masuk wang pelaburan.

Untuk mencapai tujuan ini, kerajaan perlu menghebahkan berita-berita ekonomi baik kepada pelabur. Selain itu, perjumpaan bersemuka dengan pelabur-pelabur perlu digalakkan.

Kita juga teringat kepada langkah untuk menambatkan nilai ringgit dengan nilai dolar AS bagi menstabilkan nilai ringgit seperti yang pernah kita lakukan. Tetapi pengalaman kita menunjukkan agensi antarabangsa dan peserta-peserta pasaran tidak gemar langkah berkenaan.

Selain itu, semua pihak hendaklah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan lagi mutu tadbir urus bagi memberi keyakinan kepada pelabur. Prestasi syarikat-syarikat hendaklah dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Walaupun dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan menentukan perbezaan kadar faedah dengan AS berada di paras yang sesuai seperti dituntut oleh peserta-peserta pasaran, polisi ini boleh menjejaskan prestasi ekonomi tempatan. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya