Sanggup tidak ke tandas penangan Mat Kilau

Sanggup tidak ke tandas penangan Mat Kilau

mat kilau
RAMAI generasi muda terpanggil untuk menyaksikan sendiri ¬ filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. – IHSAN STUDIO KEMBARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEJAYAAN luar biasa ­ filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan amat membanggakan kita semua. Sebuah ­ filem berunsur sejarah mampu mencatat pulangan berpuluh-puluh juta dan berduyun-duyun penonton datang ke panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Setakat ini kutipan sudah melebihi RM47 juta. Sebelum ini, kebimbangan ramai penerbit ­ filem sedemikian ialah mampukah ia mendapat sambutan penonton kerana bajetnya sebanyak RM8 juta sangat besar sedangkan tiada jaminan untuk sekurang-kurangnya balik modal.

Penerbit ­ filem yang juga Pengarah Urusan Studio Kembara dan juga Hospital Az Zahra di Bangi, Selangor, Abdul Rahman Mat Dali; pengarah, Syamsul Yusof dan seluruh warga kerja telah membuktikan bahawa filem yang berinspirasikan tokoh sejarah mampu menarik segenap lapisan masyarakat ke panggung wayang.

Tidak dinafikan kehadiran puluhan pelakon terkenal, kekuatan jalan cerita, mutu lakonan cemerlang, sentuhan pengarah pecah panggung, aksi persilatan memukau dan publisiti memberangsangkan telah menggamit minat penonton.

Selama dua jam, penonton terpaku di kerusi empuk pawagam hingga ada yang tidak mengedipkan mata, tidak mengusik makanan yang dibawa atau sayang hendak meninggalkan tempat duduk untuk ke tandas sekalipun.

Bukan sedikit penonton yang mengalirkan air mata dengan pelbagai babak sedih yang amat menjentik jantung hati mereka.

Gembira

Di akhir cerita, ramai penonton bertepuk tangan tanda amat berpuas hati. Tambah gembira, ramai generasi muda yang terpanggil untuk menyaksikan sendiri filem ini, malah ibu bapa turut membawa anak-anak mereka menonton.

Sana sini, panggung wayang penuh sesak. Tema semangat perjuangan orang Melayu menentang penjajah British diadun dengan kata bual yang mantap, menyentuh tentang keperluan bersatu, mengelakkan perpecahan, kesabaran dalam perjuangan dan diseiringkan dengan semangat keislaman yang jitu, memang membuahkan hasil.

Diharapkan selepas ini, penerbit ­ filem perlu memberanikan diri menghasilkan banyak lagi karya patriotik seperti itu. Tokoh-tokoh seperti Tok Gajah, Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Rentap, Yamtuan Antah, Sharif Masahor, Si Bongkok Tanjung Puteri dan Panglima Nayan, wajar di­filemkan.

Filem-filem sedemikian mampu menanam semangat patriotik, menginsafi­ jerih payah pahlawan Melayu, membangkitkan kesedaran kenegaraan, menyuntik semangat perpaduan, menyemai nilai-nilai murni dan membugarkan kecintaan kepada budaya bangsa.

Hal ini sudah nampak apabila ramai yang mula tertarik untuk bersilat dan menghantar anak-anak mereka mempelajari seni silat warisan bangsa.

Positif

Seni persilatan Melayu mendapat tempias positif dan nafas baharu. Jika Indonesia berbangga dengan filem Deponegoro dan November 1828, India dengan ­filem Gandhi dan Turkiye dengan ­filem Fetih 1453, maka kita perlu berbangga dengan Mat Kilau, pahlawan Tanah Melayu menentang keangkuhan British.

Kepada pengkritik ­filem ini, ulasan anda tentang propaganda berlebihan, kesilapan memilih pelakon, skrip bercelaru, penggunaan keris, kurang tepat sejarah yang dipersembahkan adalah tidak adil.

Sejak awal, penerbit mengatakan ­filem ini mengambil inspirasi daripada tokoh sejarah dan terdapat 40 peratus unsur fiksyen. Jika hendak membuat ­filem tokoh sejarah itu dari sejak kecil, jadilah ia dokumentari.

Marilah terus menyokong industri ­ filem Melayu kita terutama berunsur sejarah. Dahulu kita ada Hang Tuah, Sarjan Hassan, Leftenan Adnan, Puteri Gunung Ledang dan 1957:Hati Malaya. Filem-­filem sedemikian ada masa hadapan jika kita semua menyokongnya. –  UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya